SEBAHAGIAN daripada penyokong Al-Seeb yang hadir di Stadium Nasional  Bukit Jalil.
SEBAHAGIAN daripada penyokong Al-Seeb yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyokong hijau kuning persis Kedah Darul Aman (KDA) FC memenuhi pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi memeriahkan aksi final Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membabitkan Kuala Lumpur City (KL City) menentang Al-Seeb.

Kehadiran ratusan penyokong yang memakai baju hijau kuning itu pada mulanya disangka daripada kumpulan KDA FC namun hakikatnya mereka sebenarnya peminat bola sepak yang diterbangkan khas dari Oman untuk menyokong Al-Seeb.

Ternyata, pasukan pelawat yang dilihat berpotensi memenangi perlawanan final mendapat suntikan moral daripada penyokong sendiri sekali gus menjadi 'ancaman' kepada KL City pada malam ini.

Seorang penyokong Al-Seeb yang dikenali sebagai Abdul Rahman Al Said berkata, mereka tiba ke negara ini sejak Khamis lalu bagi memastikan tidak terlepas peluang memberi sokongan kepada Al Seeb.

Katanya, dia datang secara berkumpulan dan sentiasa mengikuti pasukan Al-Seeb walaupun mereka beraksi di luar negara.

"Kami datang mahu memberikan sokongan kepada Al-Seeb untuk pastikan berjaya memenangi perlawanan final menentang KL City," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penyokong Al-Seeb Haitham Khalfan berkata, perlawanan pada malam ini dijangka sengit kerana melihat kepada kehebatan KL City mengharungi kempen Piala AFC hingga berjaya menempah slot ke final.

"KL City beraksi di tempat sendiri dengan sokongan padu penyokong sekali gus sudah pastinya dijangka perlawanan lebih menarik dengan masing-masing mahu menjulang piala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 6:56 PM