PERKONGSIAN di TikTok menunjukkan Arif memberi kejutan kepada ibunya. FOTO media sosial
PERKONGSIAN di TikTok menunjukkan Arif memberi kejutan kepada ibunya. FOTO media sosial
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Walaupun berada dipuncak kemasyhuran, pengorbanan ibu dalam membesar dan mendidik anak tidak langsung dilupakan.

Begitulah sikap bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi apabila dia membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah kereta kepada ibunya baru-baru ini.

Arif, 20, yang menjadi tonggak utama Johor Darul Ta'zim (JDT) serta skuad Harimau Malaya, menghadiahkan kereta model X50 keluaran Proton buat ibu kesayangannya itu.

Menerusi satu video yang dikongsikan penjual kereta di laman sosial TikTok, Arif membuat kejutan di perkarangan Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Sebaik pintu kontena yang membawa kereta mewah itu dibuka, ibu Arif tergamam dengan hadiah itu sambil tersenyum gembira menerima kereta itu.

Ibunya juga menerima sejambak bunga sebelum masuk ke dalam kereta untuk mencuba sendiri kenderaan itu.

Perkongsian video terbabit mendapat reaksi positif dan pujian daripada peminat bola sepak yang memuji sikap pemain JDT itu.

Malah, video berkenaan mendapat 35,000 tanda suka selain 350 komen daripada peminat.

"Alhamdulillah berbakti pada ibu bapa", kata Siti Radyiah Hasbull.

"Terbaik Arif Aiman. Rezeki yang hadir atas kerjaya dikongsi dan ingat akan orang tuanya," tulis PakTam.

Untuk rekod, Arif Aiman sebelum ini dinobatkan sebagai pemenang anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik selain muncul pemain termuda merangkul anugerah utama iaitu Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) hujung tahun lalu.

Malah, nilai pasaran Arif Aiman kini adalah pada harga £270,000 (RM1.4 juta) seperti mana yang terdapat di laman www.transfermarkt.co.uk untuk menjadikannya antara pemain tempatan paling mahal di belakang Dion Cools ketika ini.

Selain itu, pemain itu turut berjaya membantu JDT mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun ini serta memenangi Piala FA dan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 1:43 PM