LAMBERT mahu memberi tumpuan untuk memberikan persembahan terbaik selain tidak kisah jika diletakkan di posisi berbeza. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
LAMBERT mahu memberi tumpuan untuk memberikan persembahan terbaik selain tidak kisah jika diletakkan di posisi berbeza. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Impian menjadi kenyataan buat tonggak Kuala Lumpur City FC (KL City) Declan Lambert apabila namanya tersenarai untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada perlawanan Piala Raja Thai yang akan bermula Khamis ini.

Lambert berkata, misinya ketika ini adalah untuk menambat hati pengendali skuad Harimau Malaya Kim Pan-gon supaya namanya terus berada dalam radar pasukan kebangsaan.

Katanya, ketika ini dia mahu memberi tumpuan untuk memberikan persembahan terbaik selain tidak kisah jika diletakkan di posisi berbeza andainya diturunkan pada perlawanan terbabit.

"Saya tidak kisah bermain mana-mana bahagian pertahanan, saya utamakan pertahanan kanan sebab lebih mudah kerana kerap menyepak kanan. Pertahanan kiri atau bek tengah, di mana-mana yang jurulatih mahu letakkan, saya main.

"Apa yang boleh saya katakan ketika ini cukup berbangga dan seronok dipanggil malah bangga mewakili negara (namun) ini panggilan pertama (jadi) saya masih belajar sekarang.

"Ada ramai pemain berkualiti juga dalam pasukan. Setiap posisi ada persaingan yang bagus dan saya mahu cuba kagumkan jurulatih," katanya sebelum sesi latihan hari kedua di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Lambert yang turut mempunyai saudara kembar iaitu Ryan Lambert tersenarai antara lapan benteng Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Raja Thailand Ke-48, 2022 di Chiang Mai bermula Khamis ini hingga 25 September.

Skuad negara kendalian Kim Pan-gon berdepan tuan rumah dalam perlawanan pertama sebelum menentang sama ada Trinidad & Tobago atau Tajikistan dalam penentuan tempat ketiga atau final di Stadium Ulang Tahun Ke-700, Chiang Mai.

Sementara itu, Lambert berkata, panggilan skuad kebangsaan tidak menjejaskan persediaannya untuk bersama KL City dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Katanya, selepas kejohanan itu yang berakhir pada 25 September, dia mempunyai masa yang cukup untuk berehat sebelum menyertai KL City.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 12:54 PM