NOOA pemain kacukan Malaysia-Finland. FOTO laman sosial
NOOA pemain kacukan Malaysia-Finland. FOTO laman sosial
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan nama pemain berdarah campuran Malaysia-Finland, Nooa Laine sudah berada dalam senarai panggilan skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon tetapi dibatalkan pada saat akhir, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, isu berkenaan sebenarnya tidak timbul sama sekali.

Katanya, FAM sememangnya ada menghubungi pihak Nooa baru-baru ini bagi mendapatkan kemas kini mengenai proses dokumentasi status pemain warisan sekiranya dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya.

"Pihak Sekretariat FAM memang ada menghubungi pihak Nooa bagi mengetahui status terkini berhubung perkara berkenaan kerana nama pemain itu berada dalam senarai pendek untuk dipertimbangkan oleh Pan-gon sebelum dipanggil ke kem latihan pusat kali ini.

"Namun kami dimaklumkan Nooa hanya akan pulang ke tanah air pada Oktober ini bagi menyelesaikan urusan mendapatkan dokumentasi sebagai pemain warisan.

"Jadi berdasarkan situasi semasa itu, untuk panggilan latihan pusat kali ini, memang tiada namanya disenaraikan.

"Dakwaan itu tidak tepat kerana FAM baru petang semalam mengeluarkan siaran media senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya, bukannya kelmarin. Malah surat rasmi juga baru dihantar ke kelab-kelab sejurus kemudian," katanya kepada Arena Metro.

Semalam, Pan-gon mengumumkan senarai 25 pemain bagi mengikuti latihan pusat bermula Jumaat ini dengan membuat kejutan apabila menyenaraikan beberapa muka baharu termasuk tiga lagi pemain berusia 21 tahun iaitu Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Rahadiazli Rahalim.

Malah pengendali dari Korea Selatan itu turut memanggil tonggak tengah Selangor FC, Brendan Gan dan Declan Lambert buat pertama kali selepas memperagakan aksi mantap bersama Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Malaysia mahupun Piala AFC.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan latihan bagi persiapan menghadapi dua perlawanan antarabangsa pada kejohanan jemputan 48th King's Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand pada 22 dan 25 September ini.

Bagaimanapun menurut Azman, pintu buat pemain tengah berusia 20 tahun itu yang kini beraksi bersama kelab Liga Utama Finland, SJK Seinajoki untuk menyarung jersi skuad senior kebangsaan masih belum tertutup, dengan syarat perlu segera mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

"Kami di FAM sentiasa membuka pintu yang luas untuk Nooa menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada masa akan datang sekiranya prestasi semasa beliau berjaya menambat hati Pan-gon.

"Namun apa pun kita berharap agar Nooa dapat menyelesaikan segera urusan dokumentasi sepertimana yang dinyatakan akan diselesaikan pada Oktober ini, supaya tiada masalah jika dipanggil ke kem latihan pusat selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 12:30 PM