DEVAN pada sidang media selepas perlawanan Liga Super yang berkesudahan Negeri Sembilan menang ke atas Sri Pahang FC, 3-0, di Paroi, malam tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL
DEVAN pada sidang media selepas perlawanan Liga Super yang berkesudahan Negeri Sembilan menang ke atas Sri Pahang FC, 3-0, di Paroi, malam tadi. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penampilan membanggakan dua penyerang import baharu, Gustavo Almeida dan Yashir Pinto ternyata memuaskan hati ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan.

Kedua-dua pemain import terbabit yang dibawa masuk pada sesi perpindahan kedua musim ini membuktikan impak kepada pasukan, apabila masing-masing meledak satu gol untuk membantu skuad Hobin Jang Hobin menewaskan Sri Pahang FC, 3-0, dalam aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Satu gol lagi disumbangkan Matheus Alves yang sekali gus kemenangan terbesar dicatatkan skuad berkenaan pada saingan liga setakat ini.

Bagi Devan, sememangnya beliau yakin kedua-dua pemain import terbabit mampu memperagakan prestasi terbaik terhadap pasukan kerana mereka memiliki pengalaman beraksi di pentas Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini.

"Memang kita tunggu masa mereka menjaringkan gol dan malam ini (malam tadi) mereka buktikan kemampuan masing-masing. Sebagai jurulatih, saya yang memilih mereka, kita tidak membuat teka teki (dalam memilih pemain), kita menganalisis seseorang pemain sebelum membawa mereka masuk.

"Kita tahu kebolehan mereka, macam mana mereka dapat menyesuaikan diri dengan pasukan dan bagi saya mungkin itu harapan peminat tapi saya hendak bagi masa saja mereka untuk menjaringkan gol.

"Kebiasaannya seseorang pemain import baharu memerlukan antara tiga hingga empat bulan untuk sesuaikan diri, jadi pilihan saya (Gustavo dan Yashir) menepati keperluan pasukan kerana mereka sudah mengenali ramai rakan-rakan lain dalam pasukan ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Beliau mengulas mengenai keresahan peminat pasukan itu terhadap kualiti Gustavo dan Yashir selepas melihat persembahan mereka pada aksi menentang Melaka United FC sebelum ini di tempat lawan, yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Mengulas lanjut mengenai keseluruhan persembahan anak buahnya malam tadi, Devan puas hati kerana pemain menunjukkan disiplin yang tinggi sepanjang tempoh 90 minit.

"Satu prestasi yang sangat membanggakan, kerja keras dan berjaya menutup setiap ruang terutama di bahagian pertahanan yang menyukarkan pemain lawan melakukan serangan.

"Pemain juga menghasilkan banyak peluang dengan gerakan cantik dipamerkan walaupun pada separuh masa pertama sukar sedikit tetapi selepas gol pertama dijaringkan, keyakinan pemain bertambah baik," katanya.

Dalam pada itu, Devan yang juga pengurus pasukan belum mahu mendabik dada dengan kedudukan Negeri Sembilan naik ke tangga kedua carta liga.

"Buat masa ini, saya tidak fikir untuk tempat pertama, kedua atau ketiga kerana kita pasukan baharu dalam Liga Super dan sasaran sudah kita letakkan dan kalau kita dapat capai satu keputusan yang lebih baik, ia merupakan baik untuk pasukan dan nilai pemain akan bertambah," katanya.

Negeri Sembilan yang menamatkan 10 perlawanan ketika ini menduduki tangga kedua carta liga di bawah Johor Darul Ta[zim (JDT) dengan meraih 19 mata hasil lima kemenangan, empat seri dan satu tewas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 2:15 PM