K DEVAN ketika mengendalikan latihan skuad Negeri Sembilan di Seremban. -FOTO Ihsan NSFC.
K DEVAN ketika mengendalikan latihan skuad Negeri Sembilan di Seremban. -FOTO Ihsan NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Kehadiran bekas penggempur Sri Pahang FC pada musim 2017, Matheus Alves dalam skuad Negeri Sembilan FC (NSFC), membuktikan skuad itu cukup serius dalam misi untuk memberikan cabaran hebat pada pentas saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Perkara itu ditegaskan ketua jurulatih NSFC, K Devan yang jelas gembira kerana mendapat memiliki seorang pemain penyerang yang berpengalaman di Liga M, selain masih berada di tahap prestasi terbaik.

Beliau optimis Alves mampu memberi impak positif kepada kekuatan skuad bimbingannya itu terutama di bahagian serangan, yang turut dibantu penyerang tempatan seperti Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak dan Sean Eugene Selvaraj.

"Alves pernah beraksi bersama Pahang pada musim 2017 dan jika kita melihat kepada statistik prestasinya ketika dia bermain di sana, banyak gol yang dia dapat hasilkan.

"Selepas itu dia ada pengalaman beraksi dua musim di Thailand sebelum ke Korea Selatan, iaitu bermain untuk K League 2 dan jelas dia masih berada di tahap terbaik.

"Melalui jaringan yang dihasilkannya, saya lihat dia ada kualiti sebagai seorang penyerang yang kita mahukan iaitu bertubuh besar, laju dan kuat dari segi fizikal," katanya di sini, hari ini.

Devan berkata, beliau memilih pemain berusia 29 tahun berasal dari Brazil itu bukan sahaja atas faktor pengalaman yang dimilikinya bermain di Liga M tetapi juga berdasarkan keupayaannya beraksi di tahap kompetitif.

Pengendali berpengalaman itu berkata, berdasarkan rekod, Alves menjaringkan 18 gol melalui 21 penampilan bersama Pahang dalam saingan Liga Super dan berada di tempat kedua di belakang Mohamad Ghaddar yang muncul penjaring terbanyak pada musim itu dengan 23 gol.

Devan yang berjaya membawa skuad Hobin Jang Hobin menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu berkata, selepas meninggalkan Pahang, pemain terbabit masih mendapat tempat dalam beberapa pasukan dan kelab bola sepak di rantau ini.

Katanya, beliau sudah menetapkan sasaran untuk memastikan Negeri Sembilan kekal lama dalam Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 12:55 PM