MESSI melakukan jaringan akrobatik ketika PSG menumpaskan Clermont 5-0. FOTO Reuters
MESSI melakukan jaringan akrobatik ketika PSG menumpaskan Clermont 5-0. FOTO Reuters
AFP

Paris: Lionel Messi menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua, termasuk melakukan sepakan akrobatik yang menakjubkan, ketika Paris Saint Germain (PSG) memulakan usaha mempertahankan kejuaraan Ligue 1 dengan membelasah Clermont 5-0.

Neymar juga berada dalam prestasi cemerlang untuk pasukan PSG yang tidak terasa kehilangan Kylian Mbappe akibat cedera, dengan pemain Brazil itu membuka jaringan di Clermont apabila melakukan hantaran buat Achraf Hakimi dan Marquinhos untuk gol selanjutnya sebelum separuh masa pertama tamat.

Messi kemudian saling bertukar hantaran bersama Neymar sebelum meledak gol keempat pelawat ketika berbaki 10 minit.

Dia akhirnya mempersembahkan jaringan menarik ketika berbaki empat minit apabila menahan dengan dada hantaran Leandro Paredes sebelum melakukan sepakan akrobatik.

Kemenangan PSG dalam perlawanan liga pertama di bawah jurulatih baharu Christophe Galtier berjaya dicapai walaupun Mbappe terlepas aksi berkenaan kerana kecederaan.

Mbappe juga terlepas aksi ketika menumpaskan Nantes 4-0 dalam saingan Piala Super Prancis minggu lalu kerana penggantungan.

"Tidak dinafikan kami mempunyai banyak pemain berbakat tetapi apa yang saya kekalkan ialah keinginan kolektif untuk memenangi bola semula dengan lebih awal, bermain pada intensiti tinggi, tidak pernah putus asa.

"Skuad ini sangat terbuka sejak saya tiba. Mereka suka bekerja keras bersama, bergembira bersama. Tetapi musim ini masih panjang. Ini baru perlawanan pertama," kata Galtier, yang menggantikan Mauricio Pochettino yang dipecat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 2:33 PM