NYEMAR, Messi meledak bantu PSG tewaskan Nantes. -FOTO AFP
NYEMAR, Messi meledak bantu PSG tewaskan Nantes. -FOTO AFP
AFP

Tel Aviv: Neymar meledakkan dua gol dengan Lionel Messi turut meletakkan nama sebagai penjaring gol ketika Paris Saint-Germain menewaskan Nantes 4-0 dalam aksi Trofi Juara-Juara di Tel Aviv semalam pada perlawanan pertama Christophe Galtier sebagai jurulatih baharu kelab itu.

Selepas musim pertama yang kurang memberangsangkan dalam bola sepak Perancis, Messi menjaringkan gol 22 minit selepas perlawanan yang membuka tirai kejohanan di Israel buat tahun kedua berturut-turut

Neymar yang mencetuskan spekulasi pada musim panas ini meletakkan PSG terus di depan sejurus sebelum rehat menerusi sepakan percuma yang menakjubkan.

Sergio Ramos menambah gol ketiga dan Neymar meledakkan gol keduanya dalam perlawanan itu apabila menyempurnakan penalti menyaksikan PSG yang juga juara bertahan Ligue 1 meraih kemenangan ke atas pemenang Piala Perancis musim lalu.

"Ia perlawanan yang bagus, Terdapat trofi yang ditawarkan dan kami mahukan kemenangan," kata Neymar yang menamatkan khabar angin mengenai pemergiannya.

"Jika Kylian (Mbappe), Leo dan saya gembira, kami akan melakukannya dengan baik," katanya. "Saya harap musim ini kami bertiga akan kekal dan ia akan berjalan lancar."

Ia adalah kali kesembilan dalam 10 musim PSG menjulang Trofi Juara-Juara.

Mereka tewas 0-1 kepada Lille di tempat yang sama tahun lalu.

PSG memulakan usaha mereka untuk merebut rekod kejuaraan liga Perancis ke-11 di tempat lawan ke Clermont pada 6 Ogos.

Galtier menjadi pengurus PSG yang ketujuh sejak diambil alih oleh Qatar pada 2011 dengan kontrak dua tahun pada awal Julai lalu bagi menggantikan Mauricio Pochettino.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 8:55 AM