PEMAIN tengah, Christian Eriksen menjaringkan gol penyamaan sebelum Manchester United menang 4-1 ke atas Wrexham. FOTO Agensi
PEMAIN tengah, Christian Eriksen menjaringkan gol penyamaan sebelum Manchester United menang 4-1 ke atas Wrexham. FOTO Agensi
Agensi

Manchester: Christian Eriksen bermula cemerlang dengan membantu kelab baharunya, Manchester United menewaskan Wrexham 4-1 dalam aksi persahabatan, semalam.

Eriksen dan Lisandro Martinez, yang diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu United semalam, memulakan permainan diadakan secara tertutup itu.

Bek tengah, Raphael Varane dan pemain tengah, James Garner turut membarisi kesebelasan utama menentang skuad Liga Nasional itu.

Cristiano Ronaldo pula hanya menonton dari tempat duduk penonton dan tidak terbabit dalam perlawanan berkenaan.

Garner baru sahaja pulih daripada kecederaan paha dan selepas beberapa sesi latihan, pengendali baharu United, Erik ten Hag menurunkannya untuk melihat kemampuannya susulan reputasi cemerlangnya untuk Forest musim lalu.

Bagaimanapun penampilan Eriksen, 30, lebih mencuri tumpuan apabila meledak gol di babak pertama untuk menyamakan kedudukan 1-1 selepas pertahanan Wrexham Aaron Hayden membuka jaringan.

United kemudian bangkit meledak tiga gol lagi di babak kedua.

Pemain muda seperti Alejandro Garnacho dan Zidane Iqbal turut beraksi dengan Matej Kovar menjaga gawang.

Selain itu, Ten Hag turut menurunkan Hannibal Mejbri dan Tahith Chong.

"Ini adalah kelab amat besar, jika bukan yang terbesar. Ia mempunyai sejarah hebat dan saya gembira dapat menjadi sebahagian daripadanya," kata Eriksen.

Eriksen tinggal di Hotel Lowry bersama Martinez selepas pertahanan Argentina itu disahkan sebagai pemain United sejam sebelum sepak mula.

"Saya ingin meningkatkan prestasi saya. Dengan Erik ten Hag sebagai pengendali, saya akan menjadi lebih baik kerana dia adalah pengendali hebat," kata Martinez.

United akan berdepan Atletico pada Sabtu di Oslo sebelum bertemu Rayo Vallecano di Old Trafford pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 12:01 PM