GAMBAR fail menunjukkan Matthijs De Ligt meraikan gol jaringannya ketika Juventus menentang Torino pada 18 Februari 2022. FOTO AFP
GAMBAR fail menunjukkan Matthijs De Ligt meraikan gol jaringannya ketika Juventus menentang Torino pada 18 Februari 2022. FOTO AFP
AFP

Berlin: Bayern Munich menandatangani pertahanan Juventus, Matthijs de Ligt menerusi perjanjian lima tahun, hari ini dengan pemain antarabangsa Belanda itu dijangka menjadi 'tonggak utama' ketika juara Jerman itu melalui era selepas Robert Lewandowski.

"Matthijs de Ligt adalah sasaran utama kami. Menerusi pembelian seperti ini, sasaran kami sudah tercapai. Bentuk masa depan pasukan semakin menampakkan rupanya," kata Presiden Bayern, Herbert Heiner.

Juventus menyatakan bagi mendapatkan bek tengah Belanda itu, Bayern perlu membayar 67 juta euro (RM305.07 juta) dengan 10 juta (RM45.53 juta) dalam bentuk bonus.

Ia adalah perpindahan kedua terbesar dalam sejarah Bayern selepas 80 juta euro (RM364.26 juta) dikeluarkan bagi mendapatkan seorang lagi pertahanan, Lucas Hernandez pada 2019.

Bayern akan menggunakan wang daripada perpindahan penyerang Poland, Lewandowski ke Barcelona dianggarkan melebihi 45 juta euro (RM204.90 juta) bagi membantu pembelian itu.

"Perpindahan ini adalah blok pembinaan penting untuk konsep keseluruhan yang kami sudah lakukan. De Ligt sepatutnya menjadi tonggak utama di FC Bayern," kata Hainer.

Kehadirannya menyusuli kedatangan Sadio Mane dari Liverpool serta pasangan Ajax, Ryan Gravenberch dan Noussair Mazraoui dengan kos keseluruhan dilaporkan media Jerman sebanyak 120 juta (RM546.39 juta) ketika Bayern berbelanja besar bagi pelaburan masa depan mereka.

De Ligt menyertai akademi Ajax ketika berusia sembilan tahun dan membuat penampilan pertama bersama juara Belanda itu pada usia 17 tahun.

Dia menjadi kapten termuda kelab itu dan pada 2019, selepas 117 penampilan (13 gol) serta gelaran berganda liga dan piala, dia menyertai Juventus.

Bersama gandingan pemain seperti Frenkie de Jong, Donny van de Beek dan Hakim Ziyech, De Ligt menjulang Ajax di Liga Juara-Juara Eropah 2019 sebelum jaringan pada masa kecederaan menyebabkan mereka tersingkir di separuh akhir di tangan Tottenham.

Di Juve pula, dia memenangi lebih banyak trofi seperti satu gelaran Serie A, satu Piala Itali dan satu Piala Super.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 8:30 AM