TAN Cheng Hoe. FOTO Aizuddin Saad
TAN Cheng Hoe. FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak mahu pulang terlalu awal dalam saingan Piala FA bertemu Sri Pahang FC esok apabila mahu memastikan kemenangan berpihak kepada mereka walaupun menyedari lawannya itu mempunyai rekod cemerlang tidak pernah tewas dalam perlawanan Liga Super.

Cheng Hoe berkata, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk menyingkirkan Sri Pahang daripada pusingan 16 terbaik Piala FA.

Katanya, barisan pemain Gergasi Merah perlu berwaspada terhadap ancaman pasukan Tok Gajah apabila menurunkan pemain terbaik mereka bagi menempah tiket ke pusingan seterusnya.

"Sebagai jurulatih, setakat ini kita nampak keputusan perlawanan memihak kepada Sri Pahang, mereka belum kalah lagi dalam liga dan berdepan kami tempoh hari dalam aksi liga pun berakhir dengan keputusan seri.

"Kita nampak mereka ada kekuatan tersendiri dan seperti semua tahu perlawanan Piala FA adalah perlawanan kalah mati, jadi kami perlu turun dengan fokus pada setiap minit perlawanan.

"Pada masa sama kami perlu ambil peluang bermain di tempat sendiri untuk pastikan kami berjaya layak ke pusingan yang seterusnya," katanya.

Mengikut rekod, pemenang aksi antara Selangor dan Sri Pahang akan berdepan pemenang antara Negeri Sembilan dan pasukan Liga M3, PIB Shah Alam FC di pusingan suku akhir.

Walaupun Selangor dianggap memiliki kelebihan beraksi di halaman sendiri, Cheng Hoe bagaimanapun mengakui ia bukan jaminan buat Gergasi Merah boleh melangkah ke suku akhir.

"Apa yang penting persiapan pasukan dari segi latihan dan dalam bola sepak tiada jaminan bermain tempat sendiri 100 boleh menang, ada juga perlawanan kita boleh menang di tempat lawan. Kita kena sesuaikan diri dengan situasi juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 3:53 PM