ERIK ten Hag. FOTO Manchester United
ERIK ten Hag. FOTO Manchester United
Agensi

London: Marcus Rashford menyasarkan permulaan pantas kempen Liga Perdana bersama Manchester United selepas Erik ten Hag melengkapkan minggu pertama latihan sebagai pengurus baharu di Old Trafford.

Rashford mengharungi tahun terburuknya bersama United musim lalu apabila dilanda kecederaan dan sering memanaskan bangku simpanan ketika di bawah bimbingan pengurus sementara, Ralf Rangnick.

Pemain berusia 24 tahun itu juga digugurkan daripada pasukan England bimbingan Gareth Southgate dan kini kembali ke Manchester untuk meraih semula prestasi sebenarnya.

"Kami sangat teruja dan melalui minggu yang positif pada sesi latihan pramusim.

"Kami perlu memahami prinsip permainan yang mahu diterapkan oleh Erik dan keduanya menikmati setiap sesi latihan.

"Pada minggu pertama sesi latihan kami sudah memahami kedua-dua perkara itu dan setiap pemain kini mahu turun beraksi di siri jelajah untuk menerapkan apa yang kami lakukan ketika sesi latihan pada perlawanan sebenar," katanya.

Ketibaan bekas pengurus Ajax itu disambut baik oleh peminat United dan seperti yang didedahkan oleh Rashford, setiap pemain juga cukup teruja untuk mencuba corak permainan baharu diterapkan oleh pengendali dari Belanda itu.

"Bagi saya ia adalah idea dan taktik yang segar. Erik juga memberikan identiti baharu kepada pasukan," kata Rashford.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 7:25 AM