Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel
Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel
Asrol Awang


Kuantan: Biarpun berdepan penularan Covid-19, Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel kekal tenang menghadapi situasi luar dugaan itu.

Jurulatih kelahiran Perancis itu berkata, beliau sentiasa positif dalam membentuk kembali skuad itu sebaik kembali beraksi pada perlawanan liga nanti.

"Kami perlu memulakan kembali persiapan kerana ia turut memberikan kesan terutama prestasi sebahagian pemain yang didapati positif Covid-19.

"Apa yang perlu dilakukan kini ialah meningkatkan semangat kepada pemain terutama prestasi masing-masing sebaik perlawanan.

"Saya harap semua pemain dapat mengembalikan tahap permainan yang diinginkan seperti yang dipersembahkan sepanjang latihan sebelum ini," katanya jurulatih berusia 50 tahun itu.

Gamel berkata, ketika ini, semua pihak perlu menyesuaikan diri dengan penularan pandemik wabak Covid-19.

Katanya, perkara utama yang perlu dilakukan ialah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada 5 Mac lalu, jadual perlawanan yang sepatutnya diadakan di Stadium Darul Makmur, membabitkan aksi Sri Pahang berdepan Terengganu FC (TFC) terpaksa ditunda disebabkan Covid-19.

Difahamkan, seramai 21 pemain dan pegawai Sri Pahang yang didapati positif hingga Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menunda tarikh perlawanan.

Begitu juga dua lagi perlawanan iaitu berdepan Selangor FC yang dijadualkan hari ini dan Manjung City (12 Mac).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 4:33 PM