Tunku Ismail berkata status sebagai pemain JDT walaupun tidak pernah mempunyai minit perlawanan masih mendapat kepercayaan Pan-gon. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Tunku Ismail berkata status sebagai pemain JDT walaupun tidak pernah mempunyai minit perlawanan masih mendapat kepercayaan Pan-gon. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jurulatih asing atau pun tempatan semuanya sama tetap pilih pemain yang tiada minit perlawanan.

Perkara terbabit diluahkan pemilik Johor Darul Tak'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila mengetahui senarai akhir pemain skuad Harimau Malaya untuk mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2023 bermula Rabu ini turut dibarisi pemain yang kurang minit perlawanan bersama kelab.

Tunku Ismail berkata, status sebagai pemain JDT walaupun tidak pernah mempunyai minit perlawanan masih mendapat kepercayaan Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon.

"Ingatkan foreign coach (jurulatih asing) lain, rupanya 2x5. 1 minit tak main pun masuk list (senarai).

"Asal JDT main tak main semua dia nak sangkut," komen Tunku Ismail menerusi laman instagramnya.

Terdahulu, dua pemain naturalisasi negara Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh terus menjadi taruhan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya apabila nama mereka berada dalam senarai akhir 23 pemain bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2023.

Berdasarkan senarai nama yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seorang lagi pemain naturalisasi negara Liridon Krasniqi digugurkan untuk perlawanan terbabit.

Selain Liridon, turut diketepikan untuk aksi yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Afiq Fazail, R Kogileswaran, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Norshahrul Idlan Talaha.

Seorang lagi pemain iaitu Syahmi Safari sudah dilepaskan daripada kem latihan pusat pada 31 Mei lalu kerana masalah kesihatan.

Prestasi Paula dan Sumareh pada dua aksi persahabatan skuad Harimau Malaya menentang Brunei dan Hong Kong menerima kritikan hebat daripada penyokong dan pemerhati bola sepak tanah air.

Malah, Paula juga dilihat tidak pernah diturunkan untuk beraksi bersama JDT manakala khidmat Sumareh pula hanya digunakan dalam tempoh tidak sampai 10 minit bersama Harimau Selatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 5:15 PM