BENZEMA (kiri) serahkan lilitan kapten kepada Marcelo. -FOTO AFP
BENZEMA (kiri) serahkan lilitan kapten kepada Marcelo. -FOTO AFP
AFP

Madrid: Perlawanan terakhir Real Madrid sebelum perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Real Betis semalam ketika Marcelo mengucapkan selamat tinggal di Santiago Bernabeu.

Carlo Ancelotti memilih pasukan yang kuat diturunkan pada perlawanan terakhir La Liga musim ini tetapi dengan kejuaraan yang sudah lama diraih mereka dan perlawanan akhir di Paris semakin hampir, kedua-dua pasukan tidak berminat untuk membazirkan banyak tenaga.

Ia juga adalah perlawanan terakhir buat Marcelo dan Gareth Bale yang akan meninggalkan Santiago Bernabeu akhir musim ini selepas kontrak masing-masing tamat.

Namun hanya Marcelo di masukkan dan sekali lagi kelibat Bale tidak kelihatan.

Bale tidak disenaraikan apabila mengalami kecederaan belakang sejak beberapa minggu lalu.

Marcelo dimasukkan pada babak kedua dan diberi tepukan gemuruh oleh penyokong, dengan Karim Benzema menyerahkan lilitan kapten kepadanya.

Keputusan seri itu menyaksikan skuad kendalian Ancelotti menamatkan musim dengan 86 mata, 13 di depan Barcelona yang boleh mengurangkan jurang itu apabila bertemu Villarreal malam ini.

Sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan saling memberikan penghormatan dengan Real Betis masuk ke padang sebagai juara Piala Raja Sepanyol dan Madrid sebagai juara La Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 10:56 AM