AKSI Benzema menjaringkan gol pertama Real ketika menentang Girona.
AKSI Benzema menjaringkan gol pertama Real ketika menentang Girona.
AFP

GIRONA, Sepanyol: "Dia telah melakukannya sejak beberapa tahun lalu, dia pemain berbakat besar dan berpasukan. Prestasinya memuncak ketika ini,” menurut jurulatih Real Madrid, Santiago Solari selepas Karim Benzema membantu pasukannya mara ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol hari ini dengan dua jaringan ketika menang 3-1 mengatasi Girona.

Benzema turut menemui sasaran pada perlawanan pertama, menang 4-2 di Santiago Bernabeu minggu lalu dan meneruskan persembahan hebatnya dengan dua lagi gol di Montilivi.

Pedro Porro mendapat satu gol buat Girona namun sebarang harapan untuk bangkit tidak kesampaian apabila Marcos Llorente meledak untuk kemenangan 7-3 secara agregat.

Madrid menyertai Barcelona, Real Betis dan Valencia bagi undian kelompok empat terakhir awal pagi esok. 

Barca yang mengejar rekod kemenangan kelima, pastinya menjadi pasukan yang perlu dielak namun skuad kendalian Santiago Solari sedang mendapat rentak selepas menang enam daripada tujuh perlawanan terakhir mereka, manakala Liga Juara-Juara juga akan bermula.

Benzema menjadi nadi utama persembahan baik pasukannya dengan pemain Perancis itu menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan yang menimbulkan kebimbangan mengenai tempat Gareth Bale dalam pasukan.

Bale baru kembali daripada kecederaan betis tetapi diketepikan daripada kesebelasan utama dan perlu menunggu hingga minit ke-67 untuk menggantikan Vinicius Junior.

Mungkin Solari tidak mahu tergesa-gesa membawa masuk Bale namun gandingan Vinicius dan Benzema sangat serasi untuk gol kedua dan dia mungkin keberatan untuk memisahkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 7:31 AM