Pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun, Muhammad Safwan Mazlan. -FOTO Ihsan FAM
Pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun, Muhammad Safwan Mazlan. -FOTO Ihsan FAM
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Perasaan sedih dan terkilan tidak dapat disembunyikan pemain pertahanan skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Muhammad Hairiey Hakim Mamat selepas skuad negara gagal mara ke pentas final temasay Sukan Sea di Hanoi, Vietnam semalam.

Malah pemain Terengganu FC (TFC) yang lebih mesra dipanggil 'Saha' berkata, kekalahan 0-1 kepada Vietnam pada aksi separuh akhir itu meleburkan impiannya untuk menghadiahkan pingat emas buat negara pada penampilan pertamanya pada temasya itu.

Bagaimanapun pemain berusia 22 tahun kelahiran Kampung Titian Baru Kedai Buluh, Kuala Terengganu itu reda dengan keputusan itu selain bangga dengan semangat rakan sepasukannya yang memperagakan aksi 200 peratus berdepan dengan skuad Naga Emas itu sebelum tumpas pada masa tambahan.

"Siapa tidak sedih dengan kekalahan tipis kepada tuan rumah, lebih-lebih lagi kejohanan ini adalah penampilan pertama saya bersama skuad kebangsaan.

"Lebih terharu lawan mendapat jaringan pada babak kedua masa tambahan ketika penentuan sepakan penalti hampir menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan untuk mara ke pentas final edisi ke-31 ini.

"Namun walaupun tewas, tapi kami tewas bermaruah kerana kami beraksi dengan sepenuh tenaga berdepan dengan tuan rumah, cuma rezeki pada kali ini tidak menyebelahi kami, Insya-Allah kami tekad bangkit pada aksi selepas ini," katanya.

Nada sama turut diluahkan rakan senegeri, Muhammad Safwan Mazlan, 20 yang turut terkilan dan sedih dengan kekalahan tipis itu pada aksi yang berlangsung di Stadium Viet Tri, Hanoi, malam tadi.

Namun pemain pertahanan Terengganu FC II (TFC II) itu tetap berpuas hati dengan corak permainannya dan rakan sepasukan yang beraksi dengan baik demi maruah sebelum terpaksa akur dengan kekalahan itu.

"Kami turun dengan misi untuk mara ke pentas final selepas 11 tahun negara kemarau pingat emas dalam temasya sukan ini, jadi kami sudah memperagakan aksi terbaik dan bertenaga sehingga menyukarkan tuan rumah untuk memburu jaringan.

"Bagaimanapun rezeki tidak menyebelahi kami walaupun juga turut berpeluang untuk menghasilkan jaringan, jadi kami tewas bermaruah," kata pemain kelahiran Batu Rakit, Kuala Nerus ini.

Pada aksi malam tadi, tandukan penyerang tuan rumah, Linh Nguyen Tien pada masa tambahan minit ke-111 menjadi pemisah, namun skuad kendalian Brad Maloney harus diberi pujian kerana beraksi dengan baik sebelum terpaksa akur dengan kekalahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 12:31 PM