PENYERANG Real Madrid, Karim Benzema mungkin direhatkan pada perlawanan menentang Espanyol, hari ini. FOTO AFP
PENYERANG Real Madrid, Karim Benzema mungkin direhatkan pada perlawanan menentang Espanyol, hari ini. FOTO AFP
AFP

Madrid: Real Madrid akan memenangi gelaran La Liga di Santiago Bernabeu, hari ini, jika tidak tewas kepada Espanyol sebelum berdepan Manchester City pada perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah, minggu depan.

Madrid kini mendahului 15 mata di depan Barcelona dan Sevilla di La Liga yang bermakna mereka hanya memerlukan satu mata daripada baki lima perlawanan untuk bergelar juara buat kali ke-35.

Memandangkan mereka di tangga teratas sejak November, tidak mengejutkan jika Madrid merangkul gelaran yang dikuasai sejak beberapa bulan lalu, tetapi penurunan prestasi Barcelona dan Sevilla membolehkan mereka mengesahkan gelaran lebih awal.

Situasi itu akan melonjakkan semangat Madrid untuk melayan kunjungan City pada Rabu nanti, apabila mereka perlu bangkit selepas tewas 3-4 di Manchester, minggu lalu, untuk mara ke final.

"Trofi sudah hampir dimiliki," kata Carlo Ancelotti pada sidang media, semalam.

"Pemain hanya bercakap mengenai perlawanan esok (hari ini) selepas perlawanan dengan City. Kami hanya perlukan satu mata kemenangan saja dan apabila pemain tenis terbaik memerlukan satu itu, mereka pasti akan menang."

Ancelotti dijangka membuat penggiliran pemain apabila menentang Espanyol, dengan keutamaan diberikan kepada aksi timbal balik dengan Manchester City.

Karim Benzema, Luka Modric dan Vinicius Junior dijangka direhatkan, begitu juga dengan David Alaba yang cedera manakala Eder Militao dan Nacho Fernandez digantung perlawanan.

"Kami memiliki masalah benteng pertahanan," kata Ancelotti.

"Saya perlu menurunkan Jesus Vallejo yang tidak banyak bermain, tetapi dia adalah pemain profesional dan seorang lagi bek tengah mungkin Casemiro."

Sekiranya Real tewas kepada Espanyol yang menduduki tangga ke-13, gelaran tetap menjadi milik mereka selepas Sevilla seri 1-1 dengan Cadiz dan Barcelona pula tewas kepada Mallorca, malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 8:13 AM