AFP

Madrid: Espanyol bertandang ke Nou Camp bertemu pendahulu La Liga Barcelona hari ini dengan harapan untuk mengulangi catatan yang pernah dilakukan hingga menyaksikan mereka berjaya menghalang niat musuh setempat itu bagi menjulang gelaran pada 2007.

Barca tidak memiliki kelebihan ketara berbanding pesaing terdekat ketika saingan berbaki dua perlawanan musim ini apabila hanya mengatasi Atletico Madrid menerusi rekod pertemuan yang lebih baik selain memiliki kelebihan satu mata berbanding Real Madrid yang menduduki tangga ketiga.

Ironinya, Barca turut berdepan saingan tiga penjuru dengan Sevilla serta Real apabila Espanyol bertandang ke Nou Camp pada hari terakhir musim sembilan tahun lalu.

Jaringan penyamaan Raul Tamudo mengakibatkan Barca terlepas gelaran juara dan Real dinobatkan juara minggu berikutnya.

Jaringan Tamudo itu menjadi siulan penyokong Espanyol yang menggelarnya ‘Tamudazo’ dan ia lebih popular berbanding jaringan dilakukannya ketika membolehkan pasukan itu menjuarai Copa del Rey pada musim 2000 dan 2006.

Selepas menang 1-0 ke atas Sevilla minggu lalu yang sekali gus memastikan mereka kekal dalam saingan utama musim depan, penyokong Espanyol kembali melaungkan ‘kami mahukan satu lagi Tamudazo’.

“Saya memang mengimpikan untuk melakukannya,” kata penyerang Espanyol Felipe Caicedo ketika ditanya kemungkinan mengulangi jaringan seperti dilakukan Tamudo.

“Kami tahu kesukaran menanti di Nou Camp tapi saya seorang penyerang dan perlu menjaringkan gol.

“Kami semua sedang memikirkan untuk kekal dalam liga utama. Jika berjaya, kami mahu menghalang Barcelona daripada memenangi gelaran juara pula.”

Begitupun, Barcelona sudah kembali bangkit daripada tiga kekalahan berturut-turut yang dialami bulan lalu apabila merakam tiga kemenangan sambil meledak 16 gol tanpa bolos sepanjang tiga perlawanan kebelakangan ini.

“Kami tidak bimbang dengan Tamudazo. Dengan adanya penyokong di belakang kami, tugasan minggu ini pasti dapat dilaksanakan,” kata pertahanan Barca Jordi Alba.

“Kami tidak pernah merasakan sudah menjadi juara. Saingan amat getir kerana lawan tidak tercicir mata dan semuanya terpulang kepada kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:04 AM