JURULATIH Villarreal, Unai Emery (kanan) melihat aksi pemain Liverpool, Luis Diaz pada perlawanan hari ini. FOTO Reuters
JURULATIH Villarreal, Unai Emery (kanan) melihat aksi pemain Liverpool, Luis Diaz pada perlawanan hari ini. FOTO Reuters
Reuters

Liverpool: Jurulatih Villarreal, Unai Emery lega kerana akan mengharungi perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Liverpool, minggu depan dengan defisit hanya 0-2, selepas perancangan bertahan mereka tidak menjadi di Anfield.

Liverpool dilihat kecewa apabila gagal menembusi benteng pertahanan Villarreal pada babak pertama, tetapi mendapat bekalan selepas pada babak kedua hasil gol sendiri dan jaringan Sadio Mane.

Pasukan dari Sepanyol itu tidak melawan dan gagal melakukan satu percubaan pun ke arah gawang lawan.

"Saya harus mengaku bahawa situasinya mungkin menjadi lebih buruk," kata Emery kepada Movistar Plus.

"Kami cuba untuk menyerang, membuat hantaran dan menyusun pasukan tetapi mereka tidak membenarkan kami melakukan apa-apa dan pilihannya adalah bertahan supaya mampu berjuang pada aksi kedua nanti.

"Kami tidak cukup bagus dan perlu merendah diri serta tampil pada perlawanan kedua dengan aksi berbeza. Kami perlu bermain dengan tempo tinggi yang biasa dilakukan."

Anak buah Emery dilihat pasukan yang agresif dan bertenaga ketika menyingkirkan Juventus di pusingan 16 terbaik dan Bayern Munich di suku akhir.

"Perancangannya adalah cuba bertahan untuk seri tanpa jaringan dan seterusnya membawa keputusan itu ke gelanggang kami," kata bek tengah Villarreal, Pau Torres kepada Movistar Plus.

"Tetapi akhirnya, kesilapan sendiri menghukum kami," tambahnya merujuk kepada kesilapan rakan sepasukan, Pervis Estupinan tertampan hantaran lintang Jordan Henderson ke gawang sendiri untuk gol awal Liverpool pada babak kedua.

Juara bertahan Liga Europa itu tidak mampu bermain tekanan tinggi dan serangan balas pantas yang memberikan masalah kepada Juve serta Bayern dan bernasib baik tidak tewas dengan jaringan lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 8:31 AM