BAAS dilihat sudah bersedia untuk diturunkan dan memberi yang terbaik dalam perlawanan berkenaan. FOTO Ihsan Melaka United
BAAS dilihat sudah bersedia untuk diturunkan dan memberi yang terbaik dalam perlawanan berkenaan. FOTO Ihsan Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pemain import Filipina, Justin Baas bakal kembali menyarung jersi Melaka United (MU) ketika melayan kehadiran Sabah pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam esok.

Penolong jurulatih skuad terbabit, Nazrolerwan Makmor berkata, selepas tidak dapat beraksi ketika Melaka menewaskan PIB FC dalam aksi Piala FA minggu lalu, kini pemain terbabit bakal menjadi taruhan dalam perkuatkan jentera pasukan.

Katanya, pengalaman Baas yang menyertai pasukan Filipina pada aksi persahabatan Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura, sebelum ini jelas menjadi suntikan moral terbaik untuk menentang Sabah.

Baas yang berhijrah dari kelab United City FC, Filipina antara produk dari akademi kelab Belanda, AZ Alkmaar dan pernah beraksi di Divisyen Dua Belanda bersama Jong AZ dari 2018 hingga 2020 sebelum bermain di Thai League 1 bersama Ratchaburi Mitr Phol.

Beliau berkata, keseluruhan pemain kacukan Belanda-Filipina terbabit dilihat sudah bersedia untuk diturunkan dan memberi yang terbaik dalam perlawanan berkenaan.

Menurutnya, barisan pemain lain juga sudah bertekad memberikan yang terbaik dalam menterjemah perancangan ketua jurulatih Risto Vidakovic pada aksi kali ini.

"Apa yang penting kami perlu mencipta kemenangan pada perlawanan terbabit. Malah dengan barisan pemain yang ada keyakinan mencapai kejayaan kini berada dalam tahap terbaik.

"Justeru pemain diminta tidak alpa sebaliknya fokus memburu jaringan dan mempertahankan kubu pasukan. Pada saya misi perlawanan kali ini untuk mencipta kemenangan kerana tiga mata amat berharga dengan pemain perlu menggunakan kelebihan aksi di gelanggang sendiri," katanya.

Namun dia melihat Sabah bukan calang-calang pasukan, berikutan kekuatan mental dan persefahaman dan fokus memberi keutamaan untuk tidak menghampakan.

Dalam masa sama dia juga mengharapkan kemenangan 4-0 mengatasi PIB FC sebagai latihan yang juga positif berdepan Sabah yang turun dengan barisan terbaik mereka.

Nazrolerwan Makmor berkata, sokongan padu peminat setia juga mampu menyuntik sentuhan terbaik pasukan tambahan buat masa ini pasukan belum meraih kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 4:50 PM