MAT Yo mempamer aksi cemerlang. FOTO Melaka United
MAT Yo mempamer aksi cemerlang. FOTO Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Dua jaringan bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha ketika berdepan PIB FC membolehkannya terpilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan bagi aksi Pusingan Pertama Piala FA, kelmarin.

Persatuan Bolasepak Melaka United (MUFC) dalam satu kenyataan mengitiraf Mat Yo sebagai pemain terbaik perlawanan yang berkesudahan Melaka United mengatasi PIB FC 4-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

Katanya, biarpun hanya beraksi pada separuh masa kedua, pemain terbabit berjaya menyumbang dua gol ketika mencatat kemenangan bergaya ke atas barisan pelawat untuk mara ke pusingan kedua.

"Kelibatnya banyak mengkucar-kacirkan pertahanan lawan dengan larian-larian dan gerakan berbahaya.

"Mat Yo menggunakan kelebihan menggelecek yang kerap kali mengelirukan pihak lawan. Kemampuan Mat Yo membuktikan beliau masih berbisa di bahagian hadapan untuk membantu skuad Hang Tuah musim ini," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Muhammad Akram Abdullah turut berpuas hati dengan persembahan penyerang terbabit yang kian menemui sentuhan berbisanya

Menurutnya, dia amat yakin Mat Yo akan tampil dengan karakter sebenar sebagai penyerang disegani sekali gus melonjak prestasi pasukan terbabit.

Akram berkata, penggempur terbabit antara penyerang yang masih berbisa dan jika sentuhannya terus menjadi, tidak mustahil dia mampu tersenarai dalam skuad kebangsaan seperti mana pemain tengah negara Shafiq Rahim yang kini menyinar semula di bawah kendalian jurulatih, Kim Pan-gon.

Mat Yo dan semua pemain Melaka dalam pembentukan keserasian yang lebih jitu selepas pasukan terpaksa menangguhkan latihan selama seminggu berikutan 16 anggota skuad terbabit positif Covid-19.

Kemenangan besar ke atas PIB FC memberi suntikan semangat menjelang aksi berdepan Sabah di saingan Liga Super Selasa ini dekat Stadium Hang Jebat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 2:11 PM