PEMAIN tengah Inter Milan, Hakan Calhanoglu (kanan) meraikan gol sepakan penalti dijaringkannya bersama Denzel Dumfries. FOTO Reuters
PEMAIN tengah Inter Milan, Hakan Calhanoglu (kanan) meraikan gol sepakan penalti dijaringkannya bersama Denzel Dumfries. FOTO Reuters
Reuters

Turin: Penalti pada babak pertama sudah memadai buat juara bertahan, Inter Milan memenangi aksi sengit 1-0 di Juventus, semalam, sekali gus membawa anak buah Simone Inzaghi kembali memburu gelaran Serie A.

Juve mensia-siakan banyak peluang pada awal perlawanan termasuk pertahanan veteran, Giorgio Chiellini terlepas peluang terbuka dan Inter kemudian mendapat sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama menerusi VAR.

Pasukan tuan rumah nyata berang dengan sepakan penalti itu, namun lega apabila Wojciech Szczesny menghalang sepakan diambil Hakan Calhanoglu.

Bagaimanapun, pengadil mengarahkan sepakan penalti diambil semula dan pemain tengah Turki itu mudah menyempurkannya untuk membolehkan Inter mendahului.

Gol itu tidak mengganggu keseimbangan perlawanan apabila Paulo Dybala dan Dusan Vlahovic nyaris menyamakan kedudukan pada babak kedua sebelum penjaga gol Inter, Samir Handanovic menolak keluar sepakan Denis Zakaria.

Ia kekal perlawanan berat sebelah sehingga wisel penamat apabila Juve melakukan 23 percubaan ke arah gol, berbanding hanya lima percubaan dilakukan Inter.

Kekalahan pertama dialami Juve dalam liga itu menyaksikan mereka kini di tempat keempat dengan 59 mata, empat mata di belakang Inter yang menduduki tempat ketiga dan juara bertahan itu ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, AC Milan.

Sebelum perlawanan semalam, Juventus melakar 16 aksi liga tanpa kalah dan membolehkan mereka berada di tangga keempat untuk mengintai peluang bergelar juara.

Inter sebelum itu hanya melakar satu kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 9:45 AM