BENZEMA meraikan jaringannya. FOTO EPA
BENZEMA meraikan jaringannya. FOTO EPA
AFP

Madrid: Karim Benzema dan Joao Felix memastikan Real Madrid serta Atletico Madrid meraih kemenangan di La Liga sekali gus melonjakkan semangat mereka sebelum berdepan lawan dari Liga Perdana Inggeris (EPL) pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara minggu depan.

Benzema gagal menyempurnakan penalti tetapi menjaringkan dua gol ketika Real Madrid menewaskan Celta Vigo 2-1 untuk kembali ke landasan kemenangan menjelang pertemuan genting dengan Chelsea, Khamis ini.

Atletico Madrid pula menewaskan Alaves 4-1 sebelum kunjungan ke Manchester City, Rabu ini dengan Felix berada pada prestasi terbaik apabila menjaringkan dua gol dan Luis Suarez menambah dua gol lagi selepas masuk sebagai pemain gantian.

Felix kini sudah menjaringkan tujuh gol dalam lapan perlawanan terakhirnya untuk Atletico dan pemain berusia 22 tahun itu akan menjadi tonggak utama bagi skuad bimbingan Diego Simeone untuk melakar kejutan ke atas City dan mara ke separuh akhir.

"Kami semakin yakin tetapi tetap sedar ia akan menjadi perlawanan yang sukar," kata Felix.

Kejayaan Madrid di Balaidos akan memberi sedikit ketenangan dalam pemburuan gelaran La Liga.

Walaupun tidak menampilkan persembahan sempurna, kemenangan itu pasti memulihkan keyakinan mereka menjelang aksi pertama di Chelsea dengan skuad Thomas Tuchel pula dibelasah 1-4 di laman sendiri oleh Brentford.

Chelsea yang menguasai Real Madrid dalam dua perlawanan separuh akhir tahun lalu, pasti menjadi ujian lebih besar berbanding Celta dan skuad Carlo Ancelotti hampir pasti tidak akan diberikan tiga penalti di Stamford Bridge.

"Saya tidak tahu sama ada kami berhak menang, saya perlu dua kali menyelamatkan cubaan bahaya pada babak pertama," kata penaga gol Real, Thibaut Courtois.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 11:19 AM