PAN-gon (kiri) ketika sesi latihan skuad negara. FOTO Eizairi Shamsudin
PAN-gon (kiri) ketika sesi latihan skuad negara. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiga pemain skuad Harimau Malaya terlepas 'tiket penerbangan' ke Singapura apabila digugurkan saat akhir oleh pengendali negara, Kim Pan-gon.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, jurulatih dari Korea Selatan itu hanya membawa 25 pemain ke 'Kota Singa' itu selepas membuat penilaian selama seminggu ke atas 28 pemain sepanjang kem latihan yang bermula minggu lalu.

Tiga pemain yang digugurkan itu adalah Hakimi Abdullah (Terengganu FC), Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor FC) dan Shio Hong Wan (JDT), dengan Pan-gon tidak menyatakan sebab-sebab penguguran tiga pemain terbabit.

Namun berdasarkan tinjauan dalam sesi latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pagi tadi, kelibat Sharul dan Hakimi tidak kelihatan di atas padang manakala Hong Wan berlatih seperti biasa bersama rakan sepasukan lain.

Mungkin faktor kecederaan dan kurangnya pengalaman di pentas antarabangsa menyebabkan mereka digugurkan.

Terdahulu, daripada 30 pemain yang disenaraikan untuk kem latihan pusat kali ini, hanya pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Syahmi Safari tidak dapat melapor diri selepas meminta pengecualian kerana menyambut kelahiran cahaya mata kembar tiga dan tempatnya digantikan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee.

Sementara dua lagi tonggak yang berpengkalan di luar negara, Dion Cools dan Liridon Krasniqi akan terus melapor diri di Singapura nanti.

Penyerang PJ City FC, Darren Lok pula hadir melapor diri pada 14 Mac tetapi terpaksa digugurkan selepas positif ujian RTK dan PCR, sekaligus tempatnya digantikan oleh Zhafri Yahya dari Kuala Lumpur City FC.

Seterusnya, dua lagi pemain terpaksa digugurkan semasa kem latihan pusat berlangsung iaitu pemain tengah JDT, Nazmi Faiz Mansor yang mengalami kecederaan pangkal paha dan penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim yang disahkan positif Covid-19, tetapi Pan-gon memutuskan untuk tidak memanggil mana-mana pemain dari senarai menunggu untuk hadir sebagai pengganti.

Di Singapura nanti, pasukan negara akan beraksi pada FAS Tri-Nations Series 2022 yang mana Malaysia dijadual bertemu Filipina pada Rabu ini dan Singapura pada Sabtu, dengan kedua-dua aksi berstatus aksi antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Singapura.

Satu lagi perlawanan diatur iaitu aksi persahabatan tertutup menentang kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 28 Mac ini, sebelum terbang pulang ke tanahair keesokan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 6:16 PM