ADAM (dua dari kiri) berjaya menyumbat gol pembukaan buat Southampton. FOTO Reuters
ADAM (dua dari kiri) berjaya menyumbat gol pembukaan buat Southampton. FOTO Reuters
Reuters

Southampton: Che Adams dan Oriol Romeu berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol ketika Southampton berjaya menumpaskan kelab tercorot Norwich City 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut buat Canaries.

Norwich dihukum pada minit ke-36 apabila pemain antarabangsa Scotland, Adams berjaya menggunakan kesempatan ketika situasi kelam-kabut di depan pintu gol dengan menolak bola masuk ke dalam jaring bagi golnya yang ketujuh dalam saingan EPL.

Selepas mendominasi perlawanan, Southampton sepatutnya mampu menambah jaringan sebelum rehat namun Mohamed Elyounoussi melepaskan dua peluang terbaik.

Norwich bergelut untuk menguasai permainan atau mencipta peluang menjaringkan gol sebaik aksi separuh masa kedua bersambung.

Elyounoussi melepaskan satu lagi peluang terbaik pada minit ke-87 namun gol kedua Southampton akhirnya muncul seminit kemudian apabila Romeu merembat masuk bola yang berpunca dari sepakan sudut.

"Norwich tidak menempatkan pemain di depan kotak penalti, jadi saya rasa mempunyai peluang. Kami sangat memerlukan gol kedua, kami agak bergelut namun ia memberikan kami keyakinan," kata Romeu.

Norwich kekal di tangga terbawah dengan mengumpul 17 mata daripada 26 perlawanan, manakala Southampton berjaya memintas Brighton untuk menduduki tempat kesembilan selepas meraih 35 mata hasil kemenangan kali ketiga dalam empat aksi terakhir.

"Kami sentiasa bekerja keras, corak permainan menekan kami adalah antara terbaik di dalam liga dan apabila kami mampu melakukannya dengan betul tidak ada pasukan mampu melepasinya.

"Kami semua sudah berjanji untuk memperbaiki prestasi musim lalu. Kami harus melakukannya satu demi satu perlawanan dan melihat hasilnya nanti," kata Adams.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 8:45 AM