RUSUHAN yang berlaku di luar Stadium Allianz. FOTO Agensi
RUSUHAN yang berlaku di luar Stadium Allianz. FOTO Agensi
Agensi

Sao Paulo: Seorang lelaki ditembak mati di Brazil selepas kemenangan Chelsea ke atas Palmeiras pada final Piala Dunia Kelab Sabtu lalu.

Insiden berkenaan berlaku di luar Stadium Allianz milik Palmeiras di mana ribuan peminat berkumpul untuk menyaksikan siaran langsung perlawanan itu dari Stadium Mohammed Bin Zayed di Abu Dhabi menerusi skrin gergasi.

Bagaimanapun peminat Palmeiras merusuh selepas melihat pasukan mereka tewas 1-2 dengan Kai Havertz meledak gol kemenangan menerusi sepakan penalti.

Menurut media tempatan, pihak polis menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan perusuh.

"Berlaku pergaduhan dalam kalangan peminat, yang menyebabkan rusuhan dan seorang ditembak mati," kata polis tentera.

Seorang lelaki ditangkap dalam insiden berkenaan dan pihak polis sedang mengenal pasti mereka yang terbabit.

Piala Dunia Kelab cukup besar di Amerika Selatan, dengan hanya tiga kelab Brazil pernah memenangi kejohanan berkenaan sejak ia diadakan pada tahun 2000.

Internacional dan Sao Paulo pernah memenangi gelaran itu sekali, manakala Corinthians sebanyak dua kali.

Palmeiras, Vasco da Gama, Santos, Gremio dan Flamengo berjaya ke final tetapi masih belum pernah bergelar juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 10:51 AM