DORIVAL bekas jurulatih Flamengo.
DORIVAL bekas jurulatih Flamengo.
AFP

Rio de Janeiro: Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) hari ini mengesahkan pelantikan bekas pengurus Sao Paulo, Dorival Junior sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan Brazil.

CBF tidak menjelaskan lebih lanjut tempoh kontrak terbabit tetapi media Brazil melaporkan sehingga Piala Dunia 2026.

Dorival menggantikan Fernando Diniz yang menjadi pengurus sementara sejak Julai 2023 sehingga pemecatannya Jumaat lalu.

Di bawah kendalian Diniz, "Selecao" tewas tiga kali berturut-turut dalam aksi kelayakan Piala Dunia termasuk kalah 0-1 di tempat sendiri kepada musuh tradisi Argentina pada November lalu.

Penyokong berharap Dorival dapat memulihkan semula reputasi Brazil sejak menjuarai Piala Dunia 2002.

Jurulatih berusia 61 tahun itu membantu Flamengo meraih gelaran Copa Libertadores dan Piala Brazil pada 2022 sebelum menyertai Sao Paulo. Dia juga pernah mengendalikan Atletico Mineiro, Athletico Paranaense, Internacional, Vasco da Gama, Fluminense dan Palmeiras.

Dorival dijangka tampil kali pertama pada Mac apabila Brazil menentang England dan Sepanyol dalam aksi persahabatan.

Brazil kini menduduki tangga keenam dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Amerika Selatan, slot automatik terakhir dari benua itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 8:37 AM