CRESPO taruhan terbaru Sao Paulo. FOTO AFP
CRESPO taruhan terbaru Sao Paulo. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Bekas pemain antarabangsa Argentina, Hernan Crespo akan menjadi jurulatih baru Sao Paulo, selepas perkara itu diumumkan kelab berkenaan.

Pelantikan jurulatih berusia 45 tahun itu hadir tiga minggu selepas beliau membawa kelab Argentina, Defensa y Justicia meraih kejuaraan Copa Sudamericana.

Bekas penyerang Chelsea dan Inter Milan itu menandatangani kontrak selama dua tahun.

"Beliau mempunyai sejarah membawa kelab muncul juara. Beliau juga seorang pemain yang hebat dan sekarang ini antara jurulatih sedang meningkat naik.

"Kami akan mempunyai komander yang mempunyai mentaliti juara," kata Presiden Sao Paulo, Julio Casares.

Crespo menggantikan pengendali Brazil, Fernando Diniz, yang dipecat selepas gagal membantu Sao Paulo memberikan persembahan terbaik di liga Brazil.

Mereka gagal mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan liga, kalah empat kali, termasuk tumbang 1-5 kepada pendahulu liga, Internacional.

Sao Paulo berada di kedudukan keempat, tujuh mata di belakang Internacional tatkala berbaki empat perlawanan dan mereka harus mengekalkan kedudukan berkenaan untuk layak secara automatik ke Copa Libertadores.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2021 @ 10:35 AM