BARISAN pemain Palmeiras meraikan kejayaan memenangi Copa Libertadores. FOTO AFP
BARISAN pemain Palmeiras meraikan kejayaan memenangi Copa Libertadores. FOTO AFP
AFP

Montevideo: Deyverson menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan ketika juara bertahan, Palmeiras berjaya mempertahankan Copa Libertadores selepas menewaskan Flamengo 2-1 di Montevideo, awal pagi tadi.

Palmeiras di depan seawal minit ke-5 menerusi Raphael Veiga tetapi bekas penyerang Inter Milan, Gabriel Barbosa menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua untuk Flamengo.

Pemain yang dipinjamkan dari Manchester United, Andreas Pereira melakukan kesilapan pada minit ke-95 untuk membolehkan Deyverson meledak gol.

Jaringan itu sekali gus menyaksikan Palmeiras memenangi takhta kejuaraan paling berprestij di Amerika Selatan itu buat tahun kedua berturut-turut.

"Pasukan kami sangat bagus dan memberikan fokus sepenuhnya hari ini. Kami memberi segala-galanya ketika di atas padang.

"Kami perlu beraksi seperti ini kerana ia adalah final Libertadores," kata kapten Palmeiras, Gustavo Gomez.

Palmeiras yang turut memenangi piala berprestij itu pada 1999, akan kembali beraksi di Kelab Piala Dunia Fifa tahun depan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Turut beraksi di saingan itu adalah juara Eropah, Chelsea dan gergasi Afrika, Al Ahly.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:19 AM