ABOUBAKAR (kiri) serta Toko Ekambi menjadi tonggak penting Cameroon. FOTO AFP
ABOUBAKAR (kiri) serta Toko Ekambi menjadi tonggak penting Cameroon. FOTO AFP
AFP

Yaounde: Lupakan Mohamed Salah atau Sadio Mane kerana penyerang paling prolifik di Piala Negara-Negara Afrika adalah dua pemain tuan rumah yang akan bertemu Mesir pada aksi separuh akhir awal pagi Jumaat.

Kapten Cameroon, Vincent Aboubakar adalah penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan enam gol manakala Karl Toko Ekambi menjaringkan kedua-dua gol ketika menewaskan Gambia 2-0 sekali gus mengumpul lima gol setakat ini.

Dia antara keduanya, mereka sudah meledak 11 gol untuk Cameroon setakat ini di Piala Negara-Negara Afrika, lima tahun selepas memainkan peranan kecil dalam pasukan yang memenangi trofi itu di Gabon.

Pada 2017, kedua-duanya banyak memanaskan bangku simpanan tetapi Aboubakar masuk sebagai pemain gantian untuk menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Mesir pada aksi final.

"Pada 2017, saya kurang mendapat peluang beraksi tetapi membantu rakan sepasukan ketika sesi latihan dan perlawanan sebenar.

"Kini peranan itu sudah berubah dan perkara sama juga berlaku kepada Aboubakar. Perkara paling utama pasukan dapat bekerjasama dengan baik dan kami dapat melakar kemenangan," kata Toko Ekambi.

Adalah tidak adil untuk kedua-dua penyerang itu tidak diberikan pujian dengan Collins Fai bertahan dengan baik manakala pemain tengah, Andre-Frank Zambo Anguissa dan Martin Hongla turut cemerlang.

"Mereka menyempurnakannya dengan menjaringkan gol tetapi ia adalah hasil usaha sepasukan," kata jurulatih, Toni Conceicao.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 10:57 AM