REAKSI  Ekambi (tengah)  meraikan jaringan.
REAKSI Ekambi (tengah) meraikan jaringan.
AFP

Johannesburg: Karl Toko Ekambi muncul wira Cameroon selepas jaringannya pada babak pertama menewaskan Ivory Coast 1-0 dan menempah tiket playoff ke Piala Dunia 2022.

Penyerang Lyon berusia 29 tahun itu menjaringkan gol minit ke-21 untuk memisahkan kedua-dua gergasi Afrika dengan Cameroon sebelum ini layak ke Piala Dunia tujuh kali manakala Ivory Coast tiga kali.

Ivory Coast berkelebihan satu mata sebelum perlawanan awal pagi tadi bagi merebut juara Kumpulan D di Yaounde dan hanya perlukan seri untuk kekal sebagai pendahulu.

Tetapi Cameroon yang mengekori rapat sejak tewas di Abidjan pada September akhirnya muncul pemenang hanya kurang dua bulan sebelum menjadi tuan rumah Piala Negara Afrika.

Juara Afrika Algeria, Nigeria dan Tunisia turut memenangi perlawanan masing-masing untuk mengisi tiga slot pada hari terakhir aksi peringkat kumpulan.

Republik Congo, Mesir, Ghana, Mali, Maghribi dan Senegal pula terlebih dahulu mengesahkan enam lagi slot playoff.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 8:52 AM