SELEPAS memperkenalkan Sidibe sebagai import terbaru semalam Tunku Ismail mengesahkan ada seorang lagi pemain luar negara bakal memperkuatkan JDT. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
SELEPAS memperkenalkan Sidibe sebagai import terbaru semalam Tunku Ismail mengesahkan ada seorang lagi pemain luar negara bakal memperkuatkan JDT. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas mengumumkan kehadiran pemain Mali, Moussa Sidibe sebagai tonggak import baharu buat Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sosialnya hari ini, juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu dijangka menambah seorang lagi awang importnya.

JDT yang kini giat melakukan persiapan pasukan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilihat masih belum berpuas hati dengan senarai import musim ini apabila pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membayangkan untuk membawa seorang lagi tonggak baharu.

"Ada lagi sorang," kata Tunku Ismail di ruangan komen selepas skuad Harimau Selatan itu mengumumkan secara rasmi kehadiran Sidibe bersama pasukan itu.

Sidibe, 27, adalah pemain import baharu keempat yang diikat JDT musim ini selepas turut merantai Fernando Forestiieri, Bienvenido Maranon, dan Carli de Murga sebelum ini.

Malah, senarai itu juga menambah bilangan tonggak import kelab itu kepada lapan pemain apabila sebelum ini mengekalkan empat pemain musim lalu iaitu Bergson da Silva, Leandro Velazquez, Mauricio dan Shane Lowry.

Lantas dengan isyarat yang dikongsikan Tunku Ismail itu, JDT bakal mempunyai pemain import kesembilan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Daripada sembilan pemain itu, lima daripadanya akan beraksi buat pasukan utama di Liga Super manakala empat lagi akan diletakkan di JDT II dalam saingan Liga Perdana sekali gus memberi pilihan yang besar buat Benjamin Mora untuk menukar pada bila-bila masa tonggak import dari skuad utama ke bawah.

Ini bermakna JDT jelas sudah bersedia untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut musim ini selain dilihat berkemampuan membolot tiga lagi trofi iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 6:24 PM