Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mendesak agar kelab Melaka United segera menyelesaikan tunggakan gaji pemain yang kini berlanjutan tiga bulan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PFAM, badan yang mewakili kebajikan pemain itu memberi tempoh sehingga 19 Januari ini buat pengurusan pasukan membayar semua tunggakan itu.

Jika gagal, satu langkah drastik akan diambil bagi menuntut hak pemain yang sudah memberikan aksi terbaik sepanjang musim lalu termasuk membawa skuad Hang Tuah ke separuh akhir Piala Malaysia.

"Kami di PFAM ingin menyatakan solidariti kami kepada para pemain skuad utama Melaka United dan juga pemain skuad Piala Presiden Melaka United.

"Bagi makluman, tunggakan skuad utama adalah sebanyak tiga bulan dan tunggakan bagi skuad Piala Presiden adalah sebanyak dua bulan setengah.

"PFAM telah pun menghantar Notis Tuntutan kepada pengurusan Melaka United dan menggesa agar tunggakan dilunaskan selewat-lewatnya pada 19 Januari ini," katanya.

Jelas PFAM lagi, ini bukanlah kes pertama membabitkan Melaka United, di mana kelab itu sebelum ini beberapa kali melalui skrip sama.

"PFAM ingin mengingatkan agar pasukan mengambil serius berkenaan isu pembayaran gaji memandangkan ini bukan merupakan kali pertama membabitkan pasukan Melaka United.

"Pemain sudah memberikan kerjasama dan memahami kekangan pasukan dengan memberikan tempoh yang sewajarnya. Semoga isu ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera," katanya.

Berdasarkan peraturan pertandingan Liga Malaysia, jika pasukan masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji terdapat beberapa hukuman asas yang boleh dikenakan terhadap pasukan terbabit.

Antaranya, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) boleh memotong mata, menyekat pendaftaran pemain baharu dan import untuk satu tempoh tertentu selain lesen pasukan juga boleh ditarik balik sekali gus berdepan halangan untuk beraksi dalam saingan liga atau diturunkan pangkat ke liga lebih bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 2:34 PM