IZHAM Ismail. -FOTO NSTP
IZHAM Ismail. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sikap tidak profesional segelintir pasukan Liga Malaysia (Liga M) terutama berkaitan isu tunggakan gaji sebenarnya turut berjangkit kepada pemain wanita futsal negara yang bertanding dalam Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL).

Penganiayaan itu berlaku ke atas pemain pasukan futsal Kuala Lumpur (KL) di mana bukan saja gaji tidak dibayar, malah pemain juga dihalau daripada homestay dan hotel selain terpaksa menanggung sendiri kos pengangkutan dan makanan.

Bukan itu sahaja, pengurusan pasukan juga didakwa menipu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menggunakan alasan skuad KL dijangkiti Covid-19 bagi melindungi "kisah sebenar" ketidakhadiran pemain dalam perlawanan KL dan pasukan Melaka United pada Khamis lalu yang menyaksikan Melaka menang 26-0.

Menurut Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail bersama Exco Wanita PFAM, Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh, sudah mengadakan pertemuan dengan sebahagian pemain bagi mendengar penjelasan lanjut daripada mereka.

"Berdasarkan aduan yang dibuat oleh para pemain, PFAM merasakan bahawa wujud unsur penganiayaan yang wajar diberikan perhatian secara serius oleh pihak pengurusan Kuala Lumpur dan juga pihak penganjur Liga Futsal, iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia.

"Selain itu, PFAM ingin memohon penjelasan jika sewaktu hari perlawanan, pengurusan pasukan KL memberikan alasan Covid-19 berkenaan ketidakhadiran pemain, adakah SOP Penganjuran Liga masih diteruskan memandangkan ia berpotensi untuk memberi risiko keselamatan kepada para pemain, pegawai dan urus setia?," kata Izham.

Selain itu, PFAM menuntut agar satu siasatan khas dijalankan bagi mengenal pasti punca berlakunya perkara ini, dan PFAM turut menggesa agar wakil pengurusan futsal wanita Kuala Lumpur tampil bagi memberikan penjelasan berhubung perkara ini.

"Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila melihat pemain futsal wanita di Malaysia diperlakukan seperti ini sekalipun mereka masih bertaraf amatur.

"PFAM sangat menentang sebarang urus tadbir yang sangat tidak profesional, dan akhirnya memberi kesan kepada kebajikan pemain wanita.

"PFAM juga menggesa agar suatu kerangka undang-undang yang lebih jelas dan konkrit dapat diperkasakan bagi membolehkan sebarang penganjuran perlawanan yang membabitkan pemain wanita dapat memberikan jaminan perlindungan terhadap hak dan kebajikan para pemain.

"Keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya dan PFAM merasakan dalam keadaan sebegini, para pemain futsal wanita pasukan Kuala Lumpur tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya.

"Mereka sewajarnya diberikan jaminan pembayaran gaji dan juga perlindungan kebajikan. Sekiranya perkara ini tidak dipandang serius, maka nilai keadilan tidak akan wujud maknanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 1:51 PM