MOHAMMED Suffian Awang (dua kiri) ketika bertemu barisan kejurulatihan Sri Pahang di Kuantan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
MOHAMMED Suffian Awang (dua kiri) ketika bertemu barisan kejurulatihan Sri Pahang di Kuantan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) berpuas hati dengan persiapan skuad Sri Pahang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (liga M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata setakat ini, segalanya berjalan lancar.

"SPFC berharap prestasi pasukan akan lebih baik musim ini dengan gabungan pemain lama dan baharu termasuk import.

"Komitmen yang dipersembahkan semua pemain juga pada tahap terbaik untuk memastikan Sri Pahang berada pada kedudukan lebih baik musim ini," katanya.

Musim ini, Sri Pahang melakukan perubahan besar termasuk menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman dalam usaha memperkasakan pasukan.

Ia termasuk mempertaruhkan empat pemain berpengalaman iaitu penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan serta tiga pemain pertahanan iaitu Syazwan Andik Ishak, Azrif Nasrulhaq dan Fadhli Shas.

Selain itu, skuad Tok Gajah berjaya mengikat bekas penyerang import Penang FC, Lucas Silva serta tiga import lain iaitu Stefano Brundo dari Argentina, Michael Glassock (Australia) dan Kevin Ingreso (Filipina).

Difahamkan, seorang lagi import akan diumumkan minggu ini bagi melengkapkan lima import.

Sebagai persediaan menghadapi saingan Liga M musim ini, Sri Pahang dijadualkan akan terbang ke Bangkok, Thailand, Jumaat ini.

Skuad Tok Gajah akan berada di Bangkok selama 10 hari termasuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan kelab bola sepak Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 6:01 PM