SKUAD Projek FAM-MSN tampil prestasi hambar musim lalu.
SKUAD Projek FAM-MSN tampil prestasi hambar musim lalu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Projek FAM-MSN akan kekal beraksi pada saingan Liga Perdana musim depan walaupun mencatatkan keputusan agak buruk sepanjang tempoh 2021.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar berkata, pasukan terbabit akan terus dibarisi pemain pelapis daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) sekali gus memberi peluang serta ruang kepada mereka untuk menyerlah dalam saingan kompetitif.

Beliau berkata, pasukan terbabit tidak sesuai beraksi di Piala Belia atau Piala Presiden kerana kurang mencabar memandangkan rata-rata daripada mereka adalah 'ubi muda' yang akan mewakili negara di pentas antarabangsa.

NORHASMAT (dua dari kiri) muncul juara Master B.
NORHASMAT (dua dari kiri) muncul juara Master B.

"Ada beberapa muka lama akan dikekalkan dan pada masa sama mengambil pemain baharu untuk melengkapkan pasukan bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.

"Berikutan itu, kita melantik bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan Hassan Sazali Mohd Waras untuk mengemudi pasukan terbabit. Seperti sedia maklum, kita tidak meletakkan sasaran cuma mengharapkan pemain muda ini didedahkan dengan saingan liga kompetitif supaya mereka lebih bersedia mengharungi cabaran lebih besar kelak," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, selepas mengharungi 20 perlawanan Liga Perdana musim ini, skuad yang dibarisi pemain berusia 18 dan 19 tahun itu hanya mencatatkan satu kemenangan, tiga seri dan 16 kekalahan sekali gus menghuni tangga tercorot.

Sebelum ini, jawatan jurulatih pasukan terbabit kosong berikutan Yusri Che Lah meletak jawatan sebagai pengendali skuad muda itu.

Hassan sebelum ini berpengalaman selama enam tahun bersama bekas pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee membentuk skuad pelapis mantap.

Selain itu, beliau juga mengendalikan skuad Harimau Muda C sepanjang 2014 dan 2015, pernah menjadi pembantu kepada Kim Swee dalam skuad Harimau Muda A dan B dari 2008 hingga 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 4:05 PM