SKUAD Projek FAM-MSN (jersi hitam) disaran beraksi di Liga M3 atau Piala Presiden terlebih dulu. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
SKUAD Projek FAM-MSN (jersi hitam) disaran beraksi di Liga M3 atau Piala Presiden terlebih dulu. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kekalahan terbaharu 1-7 oleh skuad projek Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)-Majlis Sukan Negara (MSN) di tangan Sarawak United dalam Liga Perdana perlu dikaji semula.

Bekas pengendali skuad Harimau Muda A, Azraai Khor Abdullah berkata, pembabitan pasukan muda itu berusia 17-20 tahun di saingan divisyen dua Liga Malaysia (Liga M) itu dilihat agak sukar buat skuad masa depan negara itu.

"Mana boleh pasukan itu (skuad projek FAM-MSN) nak bersaing dengan pasukan profesional di Liga Perdana. Saingan Liga Perdana adalah tinggi di mana pasukan-pasukan banyak gunakan pemain import yang bagus-bagus dan berkualiti.

"Macam mana budak-budak itu nak bersaing dengan pemain profesional. Sama lah juga dulu, masa saya bawa Harimau Muda A main di Slovakia main dalam divisyen dua di sana, memang susah nak menandingi mereka.

"Saya rasa tak terlambat lagi, daripada main Liga Perdana bagi mereka main dulu di Liga M3 atau Piala Presiden. Di situ lebih sesuai buat mereka daripada dibiarkan hingga semangat pemain pun luntur," katanya kepada Arena Metro.

Kelmarin, anak buah Yusri Che Lah dibelasah 1-7 oleh Sarawak United dalam aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat yang boleh dianggap memalukan.

Faktor dibarisi pemain muda berusia 17-20 tahun, tiada pemain import atau skuad pembangunan tidak boleh dijadikan alasan kerana hakikatnya mereka mewakili masa depan bola sepak negara.

Arena Metro cuba menghubungi Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram yang juga memegang portfolio hal ehwal pembangunan gagal untuk dihubungi bagi mendapatkan respon beliau mengenai kekalahan terbaru itu.

Skuad projek FAM-MSN dibentuk bagi menghadapi pusingan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 selain Sukan Sea Kemboja 2023 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 11:19 PM