SKUAD TFC turut diperkuatkan enam pemain import musim depan.
SKUAD TFC turut diperkuatkan enam pemain import musim depan.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd kini mengintai pemain tengah Thailand untuk melengkapkan kuota pemain import skuad itu bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Tanpa menamakan pemain berkenaan, sumber TFC mendedahkan arkitek skuad Gajah Perang berada dalam perancangan bagi memperkemaskan lagi jentera tengah pasukan.

Menurut sumber, aksi mantap Thailand yang mara ke pentas final Piala AFF mendorong TFC beralih ke negara jiran bagi mengisi kuota Asean.

"Bagaimanapun kita akui berdepan kesukaran melamar pemain berkenaan kerana mereka lebih gemar berkelana ke Eropah selain Liga Jepun dan Korea Selatan yang disifatkan lebih tinggi tarafnya.

"Contohnya Chanathip Songkrasin yang beraksi dalam Liga Jepun dan Thanawat Suengchittawan yang berkelana ke Eropah beraksi bersama Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Tapi sekurang-kurangnya kita sudah berusaha memancing pemain dari negara berkenaan, sama ada mereka menerima tawaran kita atau sebaliknya sukar dijangka.

"Lagipun kita tidak mahu melengkapkan kuota tujuh pemain import iaitu lima bagi skuad utama dan tiga bagi 'feeder club' Terengganu FC II (TFC II) secara tangkap muat kerana misi kita untuk memperbaiki kedudukan lebih baik berbanding musim lalu.

"Jika kita gagal ikat pemain kita mahukan itu, kita terpaksa mencari pemain lain untuk mengisi kuota Asean," kata sumber itu yang menyatakan pemain kebangsaan Filipina, Luke Woodland masih dalam peringkat perbincangan akhir.

Selain dua pemain berkenaan, pemain tengah Bangkok Glass United, Sarach Yooyen dan Phitiwat Sukjitthammakul yang beraksi bersama Chiangrai United antara pemain yang cemerlang bersama Thailand pada kejohanan Piala AFF di Singapura.

Dalam perkembangan lain, skuad kendalian Nafuzi Zain yang dibantu dua bekas kapten kebangsaan, Hairuddin Omar dan Tengku Hazman Raja Hassan sudah memulakan latihan sejak semalam sebagai persediaan awal menghadapi musim 2022.

Setakat ini TFC sudah merantai enam tonggak import termasuk dua bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kpah Sherman dan Kipre Tchetche di samping Habib Haroon, Argzim Redzovic, Jordan Mintah dan Pape Diakite.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 3:48 PM