Aksi pemain kacukan Harimau Malaya, Dion Cools.
Aksi pemain kacukan Harimau Malaya, Dion Cools.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tahun 2021 akan menjadi lebih bermakna bagi arena bola sepak negara dan peminat tempatan jika Malaysia berjaya menempah slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di China.

Selepas kali terakhir beraksi secara merit pada edisi 1980 di Kuwait, Malaysia hanya membuat satu penampilan di kejohanan benua itu ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, menyaksikan pasukan negara gagal meraih slot automatik dalam tempoh 41 tahun.

Skuad kebangsaan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe, menamatkan saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal Jun lalu di kedudukan ketiga di belakang pasukan tuan rumah dan Vietnam.

Ia sekali gus menutup pintu laluan pasukan negara ke Piala Dunia 2022 di Qatar, namun Malaysia masih berpeluang untuk beraksi di Piala Asia 2023, andai melepasi cabaran pusingan ketiga kelayakan yang selama ini menjadi tembok halangan, pada Jun tahun depan.

Walaupun pasukan negara dilihat memiliki peluang selepas mencatat tiga kemenangan dalam lima aksi pertama, kegagalan mara ke kejohanan itu lebih awal sudah boleh dijangka berdasarkan fasa persediaan menghadapi baki tiga perlawanan yang terkesan dengan impak Covid-19.

Impak itu menyaksikan pemain negara turun bertanding di UAE berbekalkan dua aksi persahabatan masing-masing tewas 1-4 kepada Kuwait dan 0-2 di tangan Bahrain pada penghujung Mei lalu, setelah 18 bulan tidak beraksi sebagai sebuah pasukan sejak November 2019.

Kehadiran pemain pertahanan berdarah kacukan Belgium-Malaysia Dion Cools, yang beraksi bersama pasukan Liga Denmark, FC Midtjylland dalam skuad Harimau Malaya selepas mendapat kelayakan turut tidak banyak membantu prestasi pasukan negara.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatat kemenangan berganda masing-masing ke atas Indonesia dan Thailand, namun tewas dalam empat perlawanan berdepan UAE dan Vietnam sekali gus mengakhiri saingan kumpulan pusingan kelayakan dengan mengumpul 12 mata.

Pada masa sama, harapan untuk melihat Malaysia menamatkan penantian lebih 10 tahun merangkul kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) turut tidak kesampaian, apabila pasukan negara ditunjukkan jalan keluar daripada kejohanan dwitahunan itu seawal peringkat kumpulan, baru-baru ini.

Pasukan negara yang melalui fasa persiapan singkat dan mencabar dari aspek ketersediaan pemain memulakan kempen kejohanan di Singapura itu dengan cemerlang, apabila merakam kemenangan ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas di tangan juara bertahan Vietnam 0-2 dan Indonesia 1-4.

Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga mengumpul enam mata sementara Indonesia dan Vietnam melangkah ke peringkat separuh akhir masing-masing selaku juara dan naib juara kumpulan.

Pencapaian mengecewakan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya yang merupakan naib juara edisi 2018 gagal mencapai sasaran diletakkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu layak ke final.

Bagaimanapun, peminat bola sepak masih boleh tersenyum apabila skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2022 yang bakal berlangsung di Uzbekistan pada Jun tahun depan.

Kejayaan tersebut susulan kecemerlangan skuad bimbingan ketua jurulatih Brad Maloney muncul juara Kumpulan J pusingan kelayakan kejohanan itu di Ulaanbaatar, Mongolia pada Oktober lepas meskipun tanpa sebarang pendedahan aksi persahabatan antarabangsa.

Anak buah Maloney yang majoritinya berusia 20 tahun ke bawah berjaya mencatat kemenangan ke atas Laos dan skuad tuan rumah sebelum seri dengan Thailand yang turut mara ke pusingan akhir selaku naib juara kumpulan.

Dalam kancah wanita, Malaysia di bawah kendalian Ketua Jurulatih Jacob Joseph gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Wanita 2022, selepas mencatat satu kekalahan dan kemenangan masing-masing berdepan Thailand dan skuad tuan rumah dalam pusingan kelayakan di Palestin, pada September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 11:37 AM