KIM Swee jadi tumpuan media luar negara. FOTO/FAIL
KIM Swee jadi tumpuan media luar negara. FOTO/FAIL
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain di Jakarta

 

PENGEDALI negara, Datuk Ong Kim Swee menjadi tumpuan media Vietnam dan Indonesia bagi mendapatkan pandangannya mengenai cabaran yang bakal dihadapi negara masing-masing.

Selain wakil media Malaysia, media kedua-dua negara turut mengambil kesempatan menemuramah pengendali berpengalaman itu pada sesi latihan skuad negara sejak dua hari lalu.

Pada Selasa, sekumpulan media Vietnam menemuramah Kim Swee berhubung pandangannya kerana finalis Piala AFC U-23 itu dijangka bertemu Korea Selatan pada separuh akhir sekiranya mampu melepasi halangan pusingan kedua dan suku akhir.

Skuad negara melakar kejutan terbesar kejohanan apabila menewaskan juara bertahan, Korea Selatan 2-1 dalam aksi Kumpulan E dengan Taegeuk Warriors turut membariskan bintang Piala Dunia yang diketuai pemain Tottenham Hotspur FC, Son Heung-min.

"Saya fikir jurulatih anda lebih tahu tentang lawan akan ditentangnya, paling penting keazaman pemain," kata Kim Swee menjawab soalan seorang wartawan Vietnam mengenai Korea Selatan.

Terdahulu Vietnam akan bertemu pasukan di tangga ketiga Kumpulan E di belakang Malaysia dan Korea Selatan iaitu Bahrain di pusingan kedua petang ini.

Malah malam semalam pada sesi latihan kedua skuad negara di Padang B Gelora Bung Karno (GBK), sekumpulan media Indonesia turut hadir mendapatkan pandangan Kim Swee mengenai aksi tuan rumah menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat.

Kim Swee dilihat tidak lokek dan melayani pelbagai soalan yang dilontarkan kepadanya mengenai UAE.

Malaysia menewaskan UAE 2-0 dalam aksi persahabatan terakhir di Stadium Shah Alam sebelum bertandang ke Sukan Asia 2018.

Malaysia sendiri akan menentang Jepun pada pusingan kedua, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 10:31 AM