BEKAS pemain TFC, Marcel akui sukar menolak tawaran KDA FC musim depan. FOTO Ihsan TFC
BEKAS pemain TFC, Marcel akui sukar menolak tawaran KDA FC musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tonggak tengah kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel akui sukar untuk menolak tawaran pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) selepas pengurusan kelab berkenaan menyatakan minat yang begitu mendalam untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.

Selain itu reputasi skuad kendalian jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak yang bakal beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan menguatkan lagi keyakinan pemain yang digelar 'Kante Ganu' itu untuk memilih skuad Lang Merah sebagai destinasinya musim 2022.

Bekas tonggak Terengganu FC (TFC) itu berkata, walaupun beberapa kelab dalam Liga Malaysia (Liga M) dan luar negara juga menyatakan keinginan sama, tetapi pasukan KDA FC berjaya menarik perhatiannya untuk beraksi bersama pasukan itu.

"Ada beberapa kelab dalam Liga M dan luar negara menyatakan hasrat untuk melamar saya, tapi Kedah menjadi pilihan saya kerana pasukan itu menunjukkan minat yang begitu mendalam.

"Selain itu KDA FC juga bakal beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan, jadi sudah tentu peluang buat saya beraksi di pentas berkenaan selain dapat menimba pengalaman yang baharu bersama skuad itu.

"Tapi sejujurnya saya perlu bekerja lebih keras lagi untuk berada dalam kesebelasan utama kerana yang pasti skuad itu bakal membawa masuk pemain import dan tempatan berwibawa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, pemain berusia 30 tahun itu akui sepanjang tiga musim bersama pasukan Terengganu FC II (TFC II) dan juga TFC, banyak kenangan manis selain ilmu diperolehi bersama pasukan itu.

"TFC dan TFC II menaikkan nama saya dengan memberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama sehingga berjaya meningkat lagi prestasi saya, terima kasih atas tunjuk ajar jurulatih.

"Walaupun jodoh saya bersama pasukan itu tidak berkekalan, tapi skuad itu tetap dihati dan kini saya mahu fokus bersama pasukan baharu bagi mencapai sasaran kelab berkenaan," katanya.

Sebelum menyertai TFC II bermula musim 2019 hingga 2020 dan TFC pada 2021, pemain berketinggian 1.64 meter itu pernah menyarung jersi pasukan UiTM FC selama dua musim bermula 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 4:38 PM