BADRUL Afzan  kekal bimbing TFC II musim depan. FOTO MALIK MUHAMAD
BADRUL Afzan kekal bimbing TFC II musim depan. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan membawa Terengganu FC II (TFC II) menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan ketiga musim ini menyaksikan ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali kekal membimbing pasukan itu pada musim depan.

Selain itu kejayaan jurulatih kelahiran Kemaman berusia 45 tahun itu membimbing pemain muda sehingga menarik minat jurulatih kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Brad Maloney memanggil empat pemain mewakili skuad kebangsaan turut menjadi antara faktor jawatan itu menjadi miliknya.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Marzuki Sulong berkata, Badrul Afzan menjadi pilihan untuk terus membimbing pasukan feeder club itu musim depan.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola sepak Malaysia (MFL) berkata, kemampuan Badrul Afzan melahirkan pemain berbakat juga antara faktor jurulatih itu kekal membimbing pasukan itu.

"Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC sebelum ini memutuskan tiada perubahan dalam pasukan TFC II iaitu mengekalkan jurulatih sebelum ini, Badrul Afzan Razali mengendalikan pasukan TFC II pada musim depan.

"Kita harapkan jurulatih itu mampu membantu pasukan TFC II menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan lebih baik berbanding musim ini selain mengintai kejuaraan Liga Perdana dan Piala Cabaran musim depan," katanya ketika ditemui.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PBSNT kini sedang menyiapkan pasukan Piala Presiden menjelang kejohanan yang dijangka bermula pada Februari 2022.

"Kita sudah selesai membuat pemilihan pemain Piala Presiden, jadi pada bila-bila masa kita akan menandatangani kontrak mereka, lagipun mereka sudah berlatih sejak 1 Disember lalu.

"Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Malaysia dijangka akan berlangsung pada Februari tahun depan, jadi kita ada masa kira-kira dua bulan lebih lagi untuk melakukan persiapan," katanya yang mengakui PBSNT kecewa dengan prestasi pasukan utama musim ini yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 2:19 PM