BADRUL Afzan tekad bantu pasukan memperbaiki rekod lebih baik musim depan. FOTO Ihsan TFC
BADRUL Afzan tekad bantu pasukan memperbaiki rekod lebih baik musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Badrul Afzan Razali meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd yang terus memberi peluang kepadanya untuk membimbing pasukan Terengganu FC II (TFC II) musim depan.

Badrul, 45 berkata, walaupun tanggungjawab itu berat dan mencabar, bekas pemain tengah Terengganu itu bertekad untuk membantu pasukan The Turtles dalam pentas Liga Perdana dan Piala Cabaran musim depan.

Musim depan Badrul Afzan bakal bergandingan dengan bekas kapten kebangsaan dan Terengganu, Rosdi Talib selain seorang lagi bekas tonggak kebangsaan, Subri Sulong yang dikekalkan bersama pasukan The Turtles itu.

Badrul Afzan yang mula membimbing pasukan TFC II sejak awal musim ini mengambil alih jawatan itu daripada pengendali musim lalu, Roshadi Wahab.

Beliau yang disambung kontrak setahun lagi sehingga 30 November 2022 akui tugasannya bersama pasukan belum lagi selesai.

"Alhamdulillah syukur kerana masih lagi diberi kepercayaan untuk meneruskan tugasan membimbing pasukan TFC II musim depan.

"Biarpun cabaran besar menanti, kami bersama barisan kejurulatihan tekad berusaha lebih keras lagi untuk membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditanya sasaran peribadinya, Badrul yang pernah beraksi bersama pasukan Pahang, Kelantan, Perlis, Kedah, Johor FC dan FELDA United selain Terengganu mahu memperbaiki rekod lebih baik berbanding musim ini.

"Selain itu kami idam untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan berkualiti yang boleh diketengahkan dalam pasukan utama selain pasukan kebangsaan," kata anak jati Terengganu kelahiran Kemaman itu.

Musim ini, bekas jurulatih Piala Presiden Negeri Sembilan, pasukan Liga Perdana Sime Darby FC dan pasukan Piala Belia Terengganu itu berjaya membantu pasukan menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan ketiga liga, namun impiannya untuk merampas Piala Cabaran tidak kesampaian apabila saingan itu dibatalkan.

Bagaimanapun apa yang paling menggembirakan pemain yang pernah membantu Kedah muncul naib juara Piala Malaysia 2004 dan Terengganu 1998 ialah berjaya melahirkan ramai pemain berbakat sehingga menarik perhatian pengendali skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Brad Maloney yang memikat pemainnya beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 6:21 PM