Stadium Tottenham Hotspur. FOTO EPA
Stadium Tottenham Hotspur. FOTO EPA
Agensi

London: Persediaan skuad Tottenham bagi perlawanan pra Krismas terganggu dengan penularan Covid-19 di kelab itu.

Difahamkan beberapa pemain dan kakitangan kelab yang menjalani ujian disahkan positif Covid-19.

Beberapa lagi ujian PCR akan dijalankan dalam tempoh 24 jam ini.

Spurs dijadualkan menentang Rennes bagi saingan peringkat kumpulan Liga Konferensi pada awal pagi Jumaat ini sebelum berkunjung ke Brighton untuk saingan Liga Perdana Inggeris pada Ahad.

Mengikut undang-undang Uefa, jika mereka mempunyai 13 pemain yang boleh beraksi, termasuk penjaga gol dari senarai 25 pemain yang didaftarkan mereka harus melengkapkan jadual perlawanan di Rennes.

Spurs memerlukan kemenangan untuk mengintai peluang layak dalam kelompok 32 terakhir.

Perlawanan itu mungkin ditangguhkan jika mereka tidak mempunyai pemain mencukupi namun semua perlawanan peringkat kumpulan perlu dilengkapkan sebelum 31 Disember ini.

Uefa dalam satu kenyataan berkata: "Perlawanan dijangka diteruskan mengikut jadual."

Belum dapat dipastikan sama ada kelab itu akan menghubungi penganjur Liga Perdana Inggeris bagi perlawanan Ahad di Stadium Amex tetapi keputusan menangguhkan perlawanan hanya boleh dibuat oleh jawatankuasa pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 10:23 AM