Penyerang Scotland Ryan Christie (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukannya pada aksi kelayakan play-off Euro 2020. FOTO AFP
Penyerang Scotland Ryan Christie (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukannya pada aksi kelayakan play-off Euro 2020. FOTO AFP
AFP

Paris: Penantian Scotland untuk layak ke kejohanan antarabangsa utama berakhir hasil kemenangan menerusi penentuan penalti 5-4 mengatasi Serbia di Belgrade selepas terikat 1-1 sekali gus mengesahkan tempat di Euro 2020 pagi ini.

Sementara pasukan bukan pilihan, Macedonia Utara akan melakukan penampilan pertama di pusingan akhir susulan kemenangan di Georgia.

Hungary dan Slovakia turut mengesahkan tempat dalam kejohanan yang terdahulu ditangguhkan tahun ini kerana pandemik Covid-19 dan dijadualkan pada Jun dan Julai 2021.

Penantian lewat setahun tidak memberi masalah buat Scotland, yang gagal menempuhi 10 kempen kelayakan sejak kejohanan utama kali terakhir Piala Dunia 1998 dan hampir melepaskan peluang aksi play-off menentang Serbia.

Skuad Steve Clarke mendahului menerusi jaringan Ryan Christie pada awal babak kedua namun tandukan Luka Jovic menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-90 memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Scotland berjaya mengesahkan kemenangan selepas menyempurnakan penalti 5-4 ketika penjaganya David Marshall menafikan tendangan terakhir dilakukan Aleksandar Mitrovi.

Tidak tewas dalam sembilan perlawanan, Scotland meneruskan kunjungan ke Wembley berdepan England, dan akan menentang Republik Czech dan Croatia di Glasgow dalam Kumpulan D pada pusingan final.

"Cara permainan berlangsung malam ini, menafikan jaringan penyamaan lewat dan terus berusaha. Kemudian aksi cemerlang 'Marsh' cukup menakjubkan, luar biasa," kata bintang Celtic Christie.

Tambahnya : "Saya akui hilang. Ia adalah untuk seluruh dunia, ia adalah tahun yang sukar bagi semua orang. Kami tahu datang ke perlawanan akan membolehkan kami melakukan sesuatu untuk negara dan saya berharap semua orang bergembira malam ini.

"Kami sudah mengharungi beberapa tahun lamanya dan akhirnya kami kembali bersaing."

Pemain Macedonia Utara gembira cipta sejarah layak di pusingan akhir Euro 2020. FOTO AFP
Pemain Macedonia Utara gembira cipta sejarah layak di pusingan akhir Euro 2020. FOTO AFP

Macedonia Utara pula mencipta sejarah selepas gol Goran Pandev memberikan negara Balkan itu kemenangan 1-0 di tempat lawan mengatasi Georgia.

Pandev meledak jaringan tunggal permainan pada minit ke-56 di Tbilisi, membolehkan negara berkenaan yang berkedudukan ke-65 FIFA layak ke pusingan akhir Kejohanan Eropah yang akan berlangsung pada Jun hingga Julai tahun depan.

Mereka akan beraksi dalam Kumpulan C yang turut dihuni bekas juara, Belanda, Austria dan Ukraine. Mereka dijadualkan akan membuat penampilan pertama berdepan Austria di Bucharest pada 13 Jun depan.

Keputusan play-off kelayakan Euro 2020:

Hungary 2 Iceland 1

Ireland Utara 1 Slovakia 2

Serbia 1 Scotland 1

Georgia 0 Macedonia Utara 1

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 8:49 AM