MICHAEL Feichtenbeiner. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MICHAEL Feichtenbeiner. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas mengharungi musim 2021 yang agak hambar akhirnya 'jodoh' Karsten Neitzel bersama Selangor FC tidak berpanjangan apabila secara rasminya Pengarah Sukan Kelab, Michael Feichtenbeiner dilantik membimbang pasukan musim depan.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang turut mengesahkan Feichtenbeiner akan terus memikul tugas selaku Pengarah Sukan Kelab.

"Kami melihat kebolehan yang ditunjukkan Michael semasa beliau berkhidmat sebagai ketua jurulatih sementara musim lalu.

"Perlaksanaan dengan mengetengahkan pemain muda yang boleh bekerjasama dengan pemain senior, dan peralihan pantas di antara menyerang dan bertahan adalah selari dengan visi kami untuk melahirkan sebuah pasukan yang mampu menjuarai saingan di masa hadapan.

"Kami yakin dengan keputusan ini dengan di bawah pimpinan beliau, kita menuju ke arah yang lebih baik dalam mencapai kejayaan," katanya.

Feichtenbeiner yang berasal dari Jerman memulakan karier sebagai jurulatih remaja VfB Stuttgart sebelum menyertai kelab Switzerland, BSC Old Boys Basel sebagai ketua jurulatih.

Beliau bertugas sebahagian besar kejurulatihannya di Jerman, kerana beliau dilahirkan di Stuttgart, Jerman Barat.

Antara pencapaian signifikannya termasuklah dalam Piala DFB pada 2019-2020 dengan kelab Bundesliga 2 (liga bola sepak divisyen dua Jerman), Stuttgarter Kickers, dengan mengalahkan tiga kelab Bundesliga (Borrusia Dortmund, Arminia Bielefeld dan SC Freiburg) dalam perjalanan ke separuh akhir, di mana mereka akhirnya disingkirkan oleh Werder Bremen selepas masa tambahan.

Juralatih Jerman itu juga pernah menjadi ketua jurulatih di Malaysia untuk MPPJ FC (kini dibubarkan) pada 2005-2006, menyelamatkan pasukan itu daripada tersingkir ke Liga Perdana Malaysia.

Selain itu, beliau turut pernah melatih di Indonesia dengan Bintang Medan FC pada 2010-2011. Selepas itu, beliau bertugas untuk Persekutuan Jerman (DFB) dari 2015 hingga 2019 sebagai ketua jurulatih B-15 hingga B-17 pasukan bola sepak kebangsaan.

Pada Disember 2019, jurulatih berpengalaman itu kembali ke Malaysia dengan Selangor FC sebagai Pengarah Sukan dan juga bertanggungjawab untuk melatih 'feeder team' Selangor FC II.

"Pihak Gergasi Merah ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Michael Feichtenbeiner dalam peranan baharunya sebagai ketua jurulatih Selangor FC dan kami berharap dia dapat meningkatkan pasukan pertama ke tahap yang lebih tinggi dengan memberikan kejayaan kepada kami di atas padang".

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 7:51 PM