KARSTEN Neitzel.
KARSTEN Neitzel.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekas pengendali Selangor FC Karsten Neitzel akan kekal bersama skuad Gergasi Merah sebagai penolong ketua jurulatih pasukan utama menjelang musim 2022.

Selangor FC dalam kenyataan hari ini mengesahkan figura kelahiran Jerman yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-54 bulan depan, akan terus menjadi tonggak penting dalam barisan kejurulatihan.

"Pemahaman beliau tentang keberadaan pasukan dalam melaksanakan falsafah bola sepak dan gaya permainan yang diterapkan oleh kelab, amat bernilai dalam meneruskan projek pembangunan dan membantu ketua jurulatih pasukan utama mencapai tahap yang lebih tinggi.

"Selangor FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Karsten (Neitzel) dan percaya kerjasama beliau bersama Michael Feichtenbeiner akan membuahkan hasil yang mampu membawa kejayaan kepada kelab dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.

Sabtu lepas, juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu mengumumkan pelantikan Michael Feichtenbeiner yang juga merupakan Pengarah Sukan Selangor FC sebagai ketua jurulatih baharu pasukan utama menggantikan Neitzel.

Pengumuman itu dibuat dalam tempoh 48 jam selepas Selangor FC disingkirkan Kuala Lumpur City FC di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2021 dengan keputusan agregat 3-0 pada Khamis lepas.

Neitzel yang dilantik sebagai ketua jurulatih pada November tahun lepas menggantikan B Sathianathan, membimbing Selangor FC menamatkan saingan Liga Super 2021 di tangga kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 6:36 PM