SKUAD Perak FC. FOTO Perak FC
SKUAD Perak FC. FOTO Perak FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika ada RM10 juta bolehlah berkira-kira untuk memiliki pasukan Perak FC. Itu tanda harga skuad Bos Gaurus diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) kepada individu atau syarikat yang berminat untuk memiliki pasukan terbabit.

Walaupun dikatakan agak tinggi, harga berkenaan berpadanan berdasarkan barisan pemain berpengalaman dan kemudahan lain yang dimiliki pasukan itu.

Mengesahkan perkara terbabit, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, tanda harga berkenaan diletakkan berdasarkan kepada nilai beberapa pasukan lain yang bersaing di Liga Malaysia.

Beliau berkata, ketika ini sekurang-kurangnya tiga individu atau syarikat sudah menyatakan minat untuk memiliki saham Perak FC dengan perbincangan masih lagi berjalan bagi mendapatkan persetujuan bersama.

"Jika minat mengambil alih Perak FC kalau boleh pihak berkenaan memiliki dana sekurang-kurangnya RM10 juta berdasarkan kepada nilai pasukan lain. Kita boleh tengok berapa Norizam Tukiman (pemilik Kelantan FC) mengeluarkan dana untuk pasukan itu selain beberapa pasukan lain.

"Saya rasa nilai berkenaan adalah berbaloi kerana kita juga memiliki barisan pemain berpengalaman dan hebat. Setakat ini, perbincangan bersama beberapa pihak yang berminat untuk memiliki Perak FC adalah positif. Saya katakan sekarang ini proses perbincangan pemilikan dalam peringkat 50 peratus antara kedua-dua pihak," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh, bimbang pasukan itu akan berdepan risiko besar seandainya gagal mempercepatkan proses pencarian pemilik baharu.

Antara risiko yang berkemungkinan dihadapi mereka adalah penggantungan beberapa perlawanan atau tidak dibenarkan untuk beraksi dalam Liga Malaysia musim 2023. Sehingga ke saat ini, Perak FC masih lagi milik penuh Pafa dan apa yang lebih merisaukan Azman adalah masih tiada usaha daripada persatuan berkenaan untuk mencari pihak yang mampu memegang sekurang-kurangnya 50 peratus pemilikan kelab itu bagi musim 2022.

Sementara itu, Yadzan berkata, pihaknya akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dalam tempoh terdekat ini apabila semua perkara atau isu 'reda'. "Saya tahu ada beberapa pihak mendesak Pafa mengadakan AGM namun jangan bimbang kita akan melakukannya dalam tempoh terdekat kerana ada beberapa perkara perlu diselesaikan sekarang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 5:36 PM