MUHAMMAD YADZAN MOHAMMAD
MUHAMMAD YADZAN MOHAMMAD
Shamsul Kamal Amarudin


IPOH: Sekurang-kurangnya enam pemain atau 15 peratus daripada skuad Perak yang menjulang Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu akan digugurkan.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Muhammad Yadzan Mohammad berkata, ini termasuk dua pemain import yang tidak menunjukkan prestasi baik sepanjang musim lalu iaitu penyerang dari Filipina, Misagh Bahadoran serta pemain pertahanan dari Lubnan, Jad Noureddine.

"Seramai 10 pemain akan tamat kontrak pada akhir bulan ini, empat tamat kontrak bulan depan serta dua tamat kontrak pada 2020.

"12 pemain pula akan tamat kontrak pada akhir tahun depan termasuk Nasir Basharuddin, Amirul Azhan, Nazirul Naim, Shahrul Saad dan Brendan Gan," katanya. Muhammad Yadzan berkata, atas nasihat jurulatih Mehmet Durakovic, dua daripada 12 pemain tamat kontrak akhir tahun depan akan ditamatkan kontrak mereka sebelum musim depan bermula.

Pemain lain pula dijangka akan diteruskan kontrak masing-masing.

"Perbincangan dengan beberapa pemain tempatan akan diadakan dalam waktu terdekat untuk menyambung kontrak mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, trofi Piala Malaysia akan dipamerkan selama dua hari pada Sabtu dan Ahad ini, sama ada di Hotel Casuarina Meru atau pusat beli belah Mydin Mall Meru Raya bergantung kepada persetujuan salah satu pemilik premis terbabit.

Katanya, trofi berkenaan akan dipamerkan untuk tontonan orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 6 petang manakala beberapa pemain akan berada di venue berkenaan dari jam 2 hingga 6 petang untuk bertemu peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 12:19 PM